Mengangkat Martabat Generasi Muda

Nik Nazmi Nik Ahmad

2007

Pada malam kedua saya berada di Ijok – sehari selepas hari penamaan calon – kami lalu di hadapan rumah jutawan tempatan yang dijadikan bilik gerakan Pemuda BN. Kain rentang gergasi berkibar dengan kata-kata ‘Sedia Gempur’. Pada hari-hari terakhir kempen pilihanraya, sebuah papan tanda pula muncul di tepi jalan antara Pekan Ijok dengan Batang Berjuntai: ‘Pemuda BN Gempur, PKR Terkubur’.

Politik sememangnya melibatkan emosi dan perasaan, tetapi antara ciri-ciri kepimpinan ialah keupayaan mengawal emosi dan perasaan tersebut. Sememangnya pilihanraya merupakan gelanggang pertarungan bagi ahli politik, namun pertarungan tersebut juga bukan sahaja tertakluk kepada undang-undang negara, malah lebih penting lagi adab dan rukun berbeza pendapat.

Apatah lagi apabila melihat slogan-slogan sedemikian digunakan oleh anak-anak muda Melayu, yang sepatutnya kaya dengan sifat santun dan tatasusila budaya kita. Kalau Salahuddin al-Ayubi boleh menghantar doktor terbaiknya merawat ketua tentera salib, Richard the Lion Heart sewaktu perang salib untuk memerdekakan Baitul Muqaddis, takkanlah Pemuda BN tidak mempunyai akhlak dan sopan-santun menghadapi pilihanraya di negara sendiri.

Saya agak lucu dengan kenyataan BN bahawa masalah ini hanya dihadapi apabila melawan Keadilan, sedangkan di Machap juga timbul masalah sama sedangkan Keadilan tidak bertanding. Malah, Saifuddin Nasution, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas mengingatkan penonton rancangan Hujah di TV9 bahawa peristiwa berdarah di Lubuk Merbau timbul sebelum kewujudan Keadilan.

Malah, pada tahun 1960-an lagi Umno sudah menubuhkan Pemuda Tahan Lasak yang mungkin boleh dikatakan pengasas budaya politik samseng negara kita. Mungkin Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) merasakan itu tidak penting, kerana mereka mengawal media di negara kita, maka budaya politik samseng itu dapat dipalitkan pada pembangkang.

Tetapi saya ingin mengajak pimpinan Pemuda BN yang kebanyakkan bijak pandai itu, untuk melupakan sejenak keghairahan kuasa dan politik mereka. Fikirkan persoalan yang lebih besar. Melangkaui dari politik kepartian, melangkaui kemenangan pilihanraya kecil – mengenai martabat dan masa hadapan generasi muda negara kita.

Obsesi baru

Saya tidak memandang prejudis kepada mat (atau mungkin juga minah) rempit. Dan di satu sudut di hati ini, saya gembira ada pendekatan berbeza yang diambil Pemuda Umno, selain hanya melabel dan mencerca mat rempit.

Dari dahulu hingga sekarang, media massa dan ahli politik kita gemar mencari obsesi baru – minah kilang, bohsia dan bohjan dan kini mat rempit – untuk disensasi, diperlekeh, dan kemudian selepas dua tiga bulan, dilupakan tanpa diselesaikan.

Namun begitu saya juga agak pelik kerana selain menampilkan imej mesra dengan mat rempit dan menghantar mereka terjun di Kutub Utara, Pemuda mahupun Putera Umno, tidak memberi penyelesaian yang khusus kepada masalah mereka.

Saya bukannya mahu merendahkan pencapaian mereka, tetapi sebagai pelapis kepimpinan negara, saya rasa Pemuda dan Putera Umno perlu memikirkan masalah ini dengan lebih serius lagi dan mencari penyelesaian yang berkekalan untuk mereka.

Masalah mat rempat ini bukan sahaja soal mereka tak cukup litar untuk berlumba, atau kerana prejudis masyarakat. Masalah ini bukan soal label semata-mata. Jika kita memanggil mereka mat cemerlang, mat gemilang mahupun Mat Valentino Rossi pun, masalah ini akan terus wujud.

Lebih mendalam lagi, ini masalah mereka yang hidup dalam suasana yang penuh tekanan – sama ada dari rumah setinggan yang tidak selesa atau flat satu dan dua bilik yang sempit – yang mana sukar menikmati masa bersama keluarga di rumah.

Isu pokok

Ini masalah mereka yang tidak banyak kemudahan rekreasi yang murah, mudah dikunjungi dan punya kelengkapan yang cukup. Ini masalah mereka yang susah mencari pekerjaan dan hidup dengan hutang dengan ah long keliling pinggang. Ini masalah generasi yang lebih tua yang hanya pandai mengenalpasti masalah dan mengkritik anak muda, tetapi tidak berusaha melihat isu-isu pokok di sebalik fenomena tersebut.

Ya, berikan mereka peluang berlumba di litar lumba secara terkawal. Tetapi kita harus pergi lebih jauh lagi. Giatkan pembinaan perumahan kos rendah yang mesra keluarga, dengan bilik tidur yang mencukupi. Giatkan pembinaan pusat pendidikan sepanjang hayat dan pusat latihan kemahiran yang relevan dengan tuntutan pekerjaan dunia global. Sediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang mencukupi.
Bagi yang Muslim, jadikan masjid dan surau kita mesra generasi muda, yang bukan cepat menghukum, tetapi lebih mementingkan bimbingan dan didikan. Bagi yang bukan Muslim, bina jati diri mereka berasaskan agama dan budaya mereka agar mereka mempunyai panduan hidup yang jelas. Duduk dan hayati masalah yang dihadapi mat rempit ini, jangan hanya cepat menjadikan mereka boneka politik.

Kadangkala ini berpunca dari keinginan kita memberi ilusi palsu kepada generasi muda kita. Kita menjual cerita bahawa kerajaan mampu mencari penyelesaian untuk setiap masalah yang timbul, dan melindungi kita dari cabaran dunia hari ini.

Yang Melayu diajar bahawa masalah kita ialah di atas konspirasi Cina. Yang bukan Melayu diajar bahawa mereka ditindas oleh orang Melayu. Maka dengan penuh nafsu Ketua Pemuda Umno menghunus kerisnya.

Dalam dunia global hari ini, cerita-cerita sebegini hanya mampu menyedapkan hati kita tanpa memberi sebarang penyelesaian. Generasi muda hanya dapat hidup dalam era globalisasi ini dengan diajar bersaing. Kerajaan sepatutnya berusaha mencipta peluang untuk setiap lapisan masyarakat melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan agar pandai berdikari.

Dengan ini, apabila timbul perubahan dalam sektor pekerjaan, mereka akan dapat menyesuaikan diri. Yang miskin tanpa mengira kaum seharusnya diperkasa, dan pada masa yang sama yang cemerlang tanpa mengira kaum harus diberi peluang berjaya.

Siswa balik kampung

Hari ini, tiba sahaja pilihanraya berkampunglah Puteri-Puteri Umno di kampung-kampung dengan usaha memastikan kemenangan BN. Anak muda di kampung yang menganggur, seronok mendapat gula-gula pilihanraya, merempit mengganggu ceramah pembangkang dan memanjat pokok menampal poster. Tetapi habis sahaja pilihanraya, menganggurlah mereka semula, terus alpa menonton Akademi Fantasia.

Alangkah baiknya sekiranya tradisi mahasiswa pulang ke desa yang pernah diamalkan generasi zaman 60-an dan 70-an dahulu dihidupkan semula. Dengan menyemarakkan program sebegini, golongan muda di kampung dapat didedahkan dengan mahasiswa yang cemerlang dan berjaya. Pada masa yang sama, mahasiswa yang sudah tiada kampung untuk pulang pada hari raya, dapat mengenali suasana desa tempat asal-usul bangsa kita.

Oramg kampung yang di pedalaman Kelantan mungkin dapat mengenali dengan lebih dekat bangsa Cina, dan yang India pula dapat mengenali dengan lebih dekat kehidupan rumah panjang di tebing Sungai Rajang. Jangan kita terlalu mengongkong mereka dari berhibur, tetapi pada masa yang sama tingkatkan aktiviti agama dan budaya yang menyeronokkan dan yang membina.

Pokok pangkalnya, marilah kita menbawa tahap politik generasi muda ke tahap yang lebih tinggi. Jangan biarkan anak muda kita hanya menjadi mat rempit dan pekerja pilihanraya, tetapi selami masalah dan cabaran mereka, bincang dan cari penyelesaiannya.

Jangan hanya ghairah ingin mengubur parti lawan, tetapi lupa menghidupkan sifat santun dan tatasusila bangsa. Jangan hanya berani berteriak menghunus keris, tetapi tidak berani membela anak setinggan yang terpinggir. Ayuh, mari kita sama-sama mengangkat martabat generasi muda Malaysia. Inilah perjuangan zaman ini bagi menghadapi masa hadapan kita bersama.

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main