Biodata

English version

Nik Nazmi Nik Ahmad telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor pada 8 Mac 2008. Beliau berusia 26 tahun pada waktu itu dan merupakan calon termuda yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Nik Nazmi turut merupakan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat sejak Ogos 2010.

Nik Nazmi memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim antara 2008 hingga 2010. Sebelum itu beliau merupakan Setiausaha Sulit kepada Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 2006 sehinggalah Pilihan Raya Umum 2008. Beliau turut memegang jawatan Exco Angkatan Muda Keadilan antara 2007-2010. Beliau kini memegang jawatan Timbalan Ketua Cabang Keadilan Kelana Jaya selain jawatannya di Ibu Pejabat Keadilan. Nik Nazmi telah membantu Keadilan sejak berusia 19 tahun.

Nik Nazmi lahir di Kuala Lumpur kepada sepasang kakitangan kerajaan dan suri rumah yang berasal daripada Kelantan. Beliau membesar di Petaling Jaya, Selangor, dan menuntut di SRK La Salle Petaling Jaya sebelum terpilih ke Kolej Melayu Kuala Kangsar antara 1995 hingga 1999. Kemudian beliau mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM. Selepas itu, Nik Nazmi mempelajari undang-undang dan memperoleh ijazah sarjana muda kepujian daripada King’s College, University of London. Hampir setahun selepas tamat pengajian beliau berkhidmat sebagai seorang eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sewaktu di MCKK, Nik Nazmi mewakili Kolej di dalam Perbahasan Bahasa Melayu dan pada 1999 merupakan salah seorang daripada anggota pasukan yang memenangi Piala Dato’ Shukor Abdullah dan Piala Perdana Menteri.

Nik Nazmi dipilih pelajar menjadi Presiden Majlis Pelajar di KYUEM pada 2001. Kemudian beliau dipilih sebagai Presiden Alumni KYUEM antara 2003 hingga 2005. Beliau juga menganggotai Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar.

Sewaktu di London, Nik Nazmi aktif di dalam pertubuhan-pertubuhan pelajar Malaysia dan juga di universiti termasuk Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia (KPUM), Majlis Tertinggi Pelajar-Pelajar Malaysia United Kingdom (UKEC) dan Labour Students. Pada tahun 2004, beliau bersama sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia menjadi fasilitator Projek Kalsom, sebuah program motivasi untuk pelajar-pelajar tingkatan 4 yang kurang bernasib baik di Besut, Terengganu.

Nik Nazmi turut dipilih mahasiswa menjadi salah seorang perwakilan mereka ke National Union of Students pada 2004, di mana beliau turut serta pelajar-pelajar Muslim lain menerusi Federation of Students Islamic Societies untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin, membantah perang di Iraq, mendapatkan kemudahan lebih baik untuk pelajar-pelajar Muslim di kampus serta pendidikan percuma untuk semua. Beliau turut menjadi Pengarah Eksekutif Open Dialogue Center antara 2007-2008 dan menganjurkan beberapa wacana ekonomi di beberapa institusi pengajian tinggi.

Nik Nazmi kini mempunyai kolum di the Malaysian Insider dan the Edge. Esei-eseinya pernah diterbitkan oleh Off the Edge, Malaysiakini, Sinar Harian, the Sun, Tamadun, The Star, Opinion Asia, Suara Keadilan dan Harakah. Nik Nazmi juga pernah muncul di BBC World Service, Channel News Asia, Bernama TV, Radio 24, TV Selangor, Astro Awani dan TV9 untuk memberi pandangan tentang isu-isu semasa. Pada tahun 2001 beliau mengasaskan SuaraAnum.com, sebuah majalah web untuk anak muda.

Buku beliau, Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 telah diterbitkan Marshall Cavendish Editions pada tahun 2009. Buku tersebut turut diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai Moving Forward: Malays for the 21st Century. Ini diikuti oleh Coming of Age: A Decade of Essays 2001-2011.

Beliau pernah bercakap di pelbagai acara seluruh negara. Di samping itu beliau turut pernah berucap dalam program di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Australia.

Beliau turut mengasaskan Pusat Tuisyen Sukarelawan Desa Mentari pada 2007 dengan seorang bekas pendidik dan sekumpulan profesional muda bagi membimbing pelajar-pelajar sekolah rendah dari flat kos rendah.

Nik Nazmi turut menganggotai Jawatankuasa Pengurus Majlis Sukan Negeri Selangor 2009-2010 yang bertanggungjawab menguruskan perkembangan sukan dan belia di negeri Selangor.

Di Dewan Negeri Selangor, Nik Nazmi menganggotai Jawatankuasa Terpilih mengenai Enakmen Kebebasan Maklumat yang ditugaskan mendapat maklumbalas awam serta menambahbaik rang enakmen tersebut selepas diluluskan pada bacaan kedua di Dewan Negeri Selangor pada Julai 2010.

Pada waktu terluang Nik Nazmi gemar membaca buku berkaitan agama, sejarah, politik dan ekonomi serta mendengar lagu pop dan rock khususnya lagu M. Nasir, Hujan dan Damien Rice. Seorang penyokong kuat Liverpool, beliau bertuah berpeluang bekerja di Chelsea FC ketika di London. Beliau mempunyai laman web sejak 1997 dan mula memulakan blognya pada 2001.

Nik Nazmi sudahpun berkahwin dan tinggal bersama isteri dan anaknya di Petaling Jaya, Selangor.

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main