Pada Sabtu lalu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Selangor Cawangan Desa Mentari menganjurkan dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Di dalam majlis tersebut, wakil-wakil persatuan meluahkan masalah yang dihadapi penjaja dan peniaga kecil seperti pemberian lesen, lokasi pusat penjaja yang tidak strategik dan lain-lain lagi.
Nik Nazmi di dalam ucapannya menyatakan penghargaan beliau kepada sumbangan penjaja dan peniaga kecil di dalam membangunkan ekonomi negeri Selangor. Beliau menaruh keyakinan bahawa membuka lebih banyak peluang perniagaan kecil dan sederhana merupakan kunci bagi memperbaiki mutu kehidupan rakyat Selangor khususnya mereka yang berpendapatan rendah agar mereka dapat berdikari.
Beliau juga menyedari bahawa sebelum ini peniaga dan penjaja sebenar banyak terpinggir kerana lesen diberikan kepada kelompok-kelompok tertentu dan hanya diberi semula kepada peniaga tulen dengan harga yang teramat tinggi.
Selain itu, Nik Nazmi memaklumkan jawatankuasa pelaksanaan manifesto sudah ditubuhkan di antara Pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri bagi mengkaji kemampuan dan prioriti pelaksanaan janji-janji pilihan raya Pakatan Rakyat di Selangor.
Di akhir acara, Nik Nazmi menyampaikan bantuan untuk orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal di kawasan Desa Mentari.

