Pagi tadi sebaik sahaja bangun saya menatap Blackberry saya dan ada sebuah SMS dari Dr. Syed Husin Ali: Pak Rustam Sani – penulis, sarjana dan pejuang serta putera pejuang bangsa Ahmad Boestamam – meninggal dunia.
Seperti Nathaniel Tan, saya mengenali Allahyarham di dalam proses pembikinan manifesto Keadilan yang dimulakan lebih setahun yang lepas. Pimpinan parti telah melantik Allahyarham bersama Ahli MPT Khalid Jaafar sebagai jawatankuasa manifesto, dan pasukan kerjanya terdiri dari saya, Nurul Izzah, Sim Tze Tzin dan Nathaniel sendiri.
Pada mulanya saya sedikit segan bertemu dengannya, maklumlah, beliau seorang intelektual dan penulis prolifik yang agak unik di kalangan sarjana Melayu hari ini. Tetapi secara peribadi beliau cukup ramah dan gemar berseloroh.
Kira-kira sepuluh hari yang lepas Allahyarham menelefon saya meminta saya mendapatkan YAB Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim untuk hadir ke Perpustakaan Selangor untuk pelancaran bukunya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hujung minggu ini. Itu kali terakhir saya bercakap dengan beliau, yang begitu cintakan dunia penulisan.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya di kalangan mereka yang soleh.
Al-fatihah.


al fatihah…
April 24th, 2008 at 11:50 ampemergian allahyarham tidak akan ada galang ganti.