Agenda 1: Mengukuhkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan

05 Mar 2008 | Community | by | 2 Komen

Bila kita bercakap soal masyarakat, kita harus faham bahawa unit sosial dalam masyarakat itu bermula dari individu dan keluarga. Maka tumpuan saya untuk memperkasa rakyat akan cuba sedaya upaya bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan. Saya yakin institusi keluarga adalah kaedah terbaik untuk 1) memastikan perkembangan anak-anak generasi muda, 2) generasi tua tidak terabai, 3) warisan budaya dan spiritual dapat terus berlangsung, 4) undang-undang diawasi dan 5) nilai kemanusiaan terpelihara.

Justeru, segala dasar, program, tindakan dan apa juga bentuk usaha kerajaan – tidak kira siapa memerintah – harus dipantau agar tidak merosakkan institusi ini. Saya sedar banyak keluarga di DUN Seri Setia ini berkorban dalam banyak bentuk seperti membuat dua pekerjaan semata-mata untuk menampung kesan luar yang menghimpit institusi keluarga seperti kenaikan harga barang, tol dan lain-lain lagi (yang sebahagian besarnya berpunca dari isu minyak). Ditambah dengan masalah jenayah, tidak ada alasan bahawa kita perlu merangka dasar, program dan tindakan yang dapat memelihara keperluan keluarga di Malaysia, Selangor dan penduduk DUN Seri Setia khususnya.

Dalam hal ini, saya berpendapat setiap keluarga di DUN Seri Setia wajar didedahkan dengan 1) peranan WAKIL rakyat untuk membentuk dasar yang berfaedah untuk keluarga mereka 2) penduduk diberi latihan, pendedahan dan kemahiran yang mampu meningkatkan pemahaman dan praktis mereka dalam menjaga, mendidik dan mengembangkan potensi institusi keluarga dalam konteks kerja masyarakat.

Saya mahu agar suara yang saya bawa adalah suara konsensus akar umbi (yang tentunya saya perlu turun ke bawah berjumpa mereka) dan bukan syok sendiri atau tidak memainkan peranan di DUN sebagai mana sepatutnya seorang WAKIL rakyat berperanan. Politik baru yang mahu kita ketengahkan untuk memperkasa rakyat ialah melalui kemudahan akses untuk aduan masyarakat agar isu-isu penting dapat ditangani dengan kadar segera dan dapat dianalisa untuk dibawa ke perhatian DUN.

Agenda kemasyarakatan misalnya dengan meluaskan peranan khidmat komuniti dengan mengadakan program berkala untuk bantuan guaman, bantuan kesihatan dan juga panduan memahami sistem keselamatan dengan kerjasama professional serta pihak berkuasa yang terlibat. Saya juga mahu menggerakkan program-program muhibah antara kaum dengan sandaran yang lebih kukuh iaitu melalui pemahaman dan bukan sekadar bersifat luaran. Setakat ini saya telah mengaktifkan khidmat komuniti berbentuk Tusyen Percuma untuk pelajar UPSR di Desa Mentari sejak 2007 dan menjadi hasrat saya untuk mengembangkan khidmat komuniti agar lebih ramai lagi anggota masyarakat yang terdidik dapat memberi khidmat mengangkat generasi setempat ke satu tahap kualiti hidup yang lebih baik.

Cara lama yang terlalu berpusat kepada pimpinan setakat ini tidak banyak mengubah nasib rakyat malah setiap kali tiba musim Pilihan Raya, akan ada seolah satu ancaman kepada rakyat agar mereka kekal bergantung kepada pimpinan lama walhal mereka tidak pernah diperkasakan agar lebih berupaya mengolah potensi untuk berada pada tahap yang lebih baik, sebaliknya yang menerima seadanya akan ditempatkan pada realiti pak angguk.

Tidak ada pilihan lain untuk kita selain mengatasi rasa takut dan bimbang yang ada dalam diri sendiri kerana kita berupaya memilih yang lebih baik dan berusaha bersama untuk menemui masa depan yang lebih gagah untuk diri kita, Seri Setia, Selangor dan Malaysia!

  • http://Tiada ZAKARIA

    segala yang diucapkan harap diambil serius, buktikan kepada rakyat, jangan hanya tau cakap.laksanakan amanah rakyat…ingat balasan tuhan diakhirat

  • AYU

    BAGUS2… TERUSKAN USAHA UNTUK MEMANTAPKAN LAGI INSTITUSI KEKELUARGAAN DI SAMPING MERAPATKAN SILATURRAHIM DAN KASIH SAYANG ANTARA AHLI KELUARGA DI MALYSIA…

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main