Pada Khamis lalu lima pimpinan Hindraf ditangkap dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun.
Apa sepatutnya pendirian kita di kalangan umat Islam? Saya percaya, seperti saya, ramai orang Melayu berugama Islam tidak menyokong banyak tuntutan Hindraf, khususnya yang cuba menjadikan kemelut masyarakat sebagai pertentangan kaum, menyerang Artikel 153 dan membuat dakwaan pembersihan etnik. Kini timbul pula dakwaan ada kaitan Hindraf dengan pengganas luar negara.
Tetapi kita kena berpegang pada prinsip. Jika ada sebarang kebenaran terhadap tuduhan tersebut sebagaimana didakwa pihak polis, maka bawa mereka ke mahkamah atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas DYMM Yang Di Pertuan Agong sebagaimana dilakukan terhadap kumpulan Al Maunah.
Saya setuju dengan kenyataan Datuk Seri Syed Hamid Albar agak aneh untuk Amerika Syarikat mengkritik tindakan kita apabila mereka sendiri menahan ribuan orang tanpa bicara di Guantanamo Bay. Tetapi Amerika buat salah, kita buat pun salah. Hak untuk dibicarakan di dalam mahkamah yang adil ialah hak yang terlalu penting untuk dikorbankan.
Saya telah tegaskan berkali-kali – saya tidak memandang kecil risiko keganasan. Jika undang-undang sedia ada tidak mencukupi, kita boleh mencadangkan undang-undang alternatif, tetapi ia harus mempunyai ciri-ciri berikut:
- Mempunyai ruang untuk penilaian penghakiman (judicial review) seperti ISA yang asal (peruntukan tersebut telah dibuang berikutan Operasi Lalang)
- Memperuntukkan tempoh tahanan yang lebih pendek (misalnya 10-20 hari) sebelum didakwa di mahkamah terbuka atau dibebaskan
- Mengecilkan skop tuduhan kepada menjatuhkan kerajaan secara militan atau penggunaan strategi gerila / pengganas
- Terbatal selepas tarikh yang tertentu (misalnya lima tahun), yang mana untuk menguatkuasannya, Parlimen perlu melalui proses legislatif sekali lagi
Saya sedang membaca karya Tariq Ramadan, cucu As Syahid Imam Hassan al Banna Western Muslims and the Future of Islam. Di dalamnya beliau menulis:
Peranan masyarakat Islam di Barat ialah untuk mempertahankan prinsip, bukan kepentingan, dan jika terbukti bahawa dengan menggunakan prinsip sejagat kepentingan mereka terpelihara, adalah jelas perjuangan menuntut prinsip-prinsip ini memberi manfaat kepada masyarakat umum.
Jadi umat Islam kena terus-menerus setia pada prinsip-prinsip kita, sekalipun kita tidak bersetuju dengan pandangan pihak yang menjadi mangsa tersebut. Di dalam sejarah Islam, kita paling kuat apabila kita menjunjung keadilan dan bersikap terbuka, dan dengan mengamalkan sikap tersebut kita menghayati ajaran Islam itu sendiri.


Saya setuju dengan saudara. Isu hindraf tidak boleh diperkecilkan kepada isu perkauman sahaja. harus juga dilihat dari sudut humanistic agar keadilan dapat dicapai dalam hal ini. Malangnya hindraf telah dijadikan political ammo untuk BN bagi mengaut simpati orang melayu bagi PRU akan datang.
December 15th, 2007 at 11:44 pm