Saya baru tamat membaca memoir politik Allahyarham Tan Sri Asri Muda, Meniti Arus.
Mungkin tak ramai generasi muda mengenali Allahyarham. Saya mengenali beliau menerusi bapa saya, yang cukup mengkagumi bakat pidato bekas Presiden PAS ini. Bapa saya sering bercerita bagaimana apabila Asri menyampaikan ceramah, orang ramai akan berduyun-duyun mengikutinya.
Beliau sebenarnya seorang yang pernah terlibat dengan gerakan kiri politik tanah air menerusi Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Hizbul Muslimin. Di dalam sebuah edisi lusuh buku karya Haji Subky Latif (ketika itu penulis politik) Siapa Ganti Asri pada 1977 yang saya jumpa di rumah saya (barangkali milik bapa saya) ada dinukilkan kisan menarik ketika Allahyarham di Gunung Semanggol bersama pengasas Hizbul Muslimin, Ustaz Abu Bakar Bakir. Asri akan mengikuti kuliah subuh bersama Ustaz Abu Bakar khususnya di dalam bidang tafsir, hadis dan nahu Arab. Pada sebelah petang Asri akan menyampaikan perkara yang dipelajarinya pagi tadi kepada penduduk sekitar Gunung Semanggol. Yang menariknya ramai lebih seronok mengikuti kuliah Asri!
Kemudian beliau menyertai PAS, dan menjadi Setiausaha Kerja PAS yang pertama ketika ia masih beribupejabat di Pulau Pinang. Sebagaimana Farish Noor pernah mengingatkan, pada waktu itu PAS begitu daif sehingga tidak mampu memiliki mesin taip sendiri!
Apabila PAS memindahkan ibupejabatnya ke Kuala Lumpur, Asri tidak turut serta sebaliknya ditugaskan pulang ke negeri asalnya Kelantan untuk menyebarkan pengaruh PAS ke Kelantan dan Terengganu. Walaupun tidak menampakkan kesan pada pilihan raya 1955, hasil sumbangannya PAS menang di kedua-dua negeri pada pilihan raya pertama selepas merdeka.
Asri kemudian memegang tampuk pemangku Presiden PAS ketika Dr. Burhanuddin al-Helmy ditahan kerajaan, dan seterusnya menjadi Presiden PAS. Beliau turut menjadi Menteri Besar Kelantan.
Selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei, beliau diundang oleh Tun Razak untuk membentuk kerajaan campuran. PAS seterusnya, bersama-sama PPP dan Gerakan turut serta di dalam penubuhan Barisan Nasional. Allahyarham sendiri menjadi Menteri Persekutuan. Bapa saya menceritakan bagaimana ketika beliau mencari tempat untuk pelajar-pelajar kita di luar negara berikutan dasar pendidikan yang agresif selepas pengenalan DEB, Allahyarham memainkan peranan penting di dalam menggunakan pengaruhnya di Timur Tengah bagi mendapatkan tempat bagi pelajar-pelajar perubatan.
Tetapi perasaan hasad dengki di kalangan UMNO pada waktu itu akhirnya menamatkan eksperimen PAS di dalam BN, dan Kelantan tumbang buat pertama kali ke tangan BN.
Tidak lama kemudian, pada tahun kelahiran saya Allahyarham menerima tamparan apabila mendapat tekanan dari golongan muda PAS pada waktu itu yang merasakan pendekatan beliau yang mirip nasionalis Melayu itu tidak sesuai. Beliau akhirnya meletak jawatan, dan meninggalkan PAS, menubuhkan sebuah parti baru dengan nama Hizbul Muslimun juga. Namun di sana juga beliau kecewa, dan akhirnya beliau menyertai UMNO.
Beliau pulang ke rahmatullah pada tahun 1992, dengan usia 69 tahun.
Memoir beliau terlalu ringkas dan agak terpisah antara bab-babnya kepada isu-isu yang agak spesifik. Namun ia tetap seronok dibaca, dan bagi generasi muda khususnya, buku ini dapat memberi latar belakang politik Malaysia hari ini dengan lebih mendalam.


Pingback: Hindraf menuntut digugurkan hak Melayu? : Bolehland