Pepatah Melayu menyebut, yang tua menyayangi yang muda dan yang muda menghormati yang tua.
Akhir-akhir ini kita melihat laporan media yang agak merisaukan mengenai hubungan antara guru dan pelajar. Minggu lepas tentang laporan pelajar-pelajar di Sarawak didenda dengan direndam. Kini timbul pula laporan bagaimana di Johor seorang guru dicekik pelajar.
Sememangnya suatu kerangka baru diperlukan bagi menggariskan bidang kuasa guru di dalam mendisiplinkan pelajar, agar guru mempunyai ruang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan pada masa yang sama tidak menyalahgunakan kuasa tersebut.
Sebagai seorang pelajar asrama saya sendiri biasa didenda dan mendenda (di dalam had-had yang tertentu). Tetapi situasi hari ini sudah berubah, sikap ibu bapa yang menyerahkan anak mereka kepada guru untuk diperlakukan apa sahaja asal tidak meninggalkan bekas mungkin sukar dicari.
Namun kerangka undang-undang dan peraturan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah ini. Perkara pokoknya ialah membina perasaan hormat dan sayang-menyayangi antara guru dan murid dengan cabaran hari ini.
Ibu bapa juga perlu memberi peluang kepada guru-guru untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. Kadangkala ibu bapa terlalu campur tangan, sehingga guru gagal menunaikan tugas mereka dengan baik. Apabila timbul musibah atau keputusan anak mereka tidak baik, guru juga dipersalahkan.

