Saya baru sahaja habis membaca novel agung Sasterawan Negara, A. Samad Said – Salina.
Saya cukup kagum dengan kebolehan penulis menceritakan kisah kemiskinan masyarakat Melayu di zaman penjajahan di Singapura (sekitar zaman sama bapa saya belajar di UM Singapura): bagaimana sekumpulan manusia yang cukup daif menumpang hidup di pondok-pondok dan bangsal-bangsal yang asalnya kandang kambing, sehinggakan tempat tersebut dikenali ‘Kampung Kambing’.
Watak utama – Salina – merupakan seorang pelacur yang begitu kasihkan Abdul Fakar yang menjadi seolah-olah lelaki simpanannya yang makan hasil pencarian Salina meskipun tidak menghargainya. Tetapi Salina berjiwa besar. Dia memberi dorongan dan wang ringgit kepada Hilmy, seorang pelajar cemerlang untuk terus belajar. Apabila penduduk kampung mengumpat Salina, Hilmylah yang mempertahankannya. Dan juga sebuah lagi keluarga yang terdiri dari Zarina, seorang bekas pelayan, anak tirinya Nahidah yang gemar berkawan dengan Hilmy dan Sunarto, seorang pengayuh beca yang dipelihara mereka sebagai anak angkat.
Kehidupan penduduk kampung tertumpu di gerai minum dan juga di bilik mandi PWD yang diguna secara curi-curi oleh penduduk Kampung Kambing. Meskipun hidup bergelumang dengan kemiskinan, mereka juga seperti manusia lain: ada kisah cinta, dendam dan lucu (terutamanya dengan gelagat Si Bulat yang suka mengganggu kambing-kambing Kurupaya dan berpura-pura menjadi calon pilihanraya berpidato di atas kotak susu buruk kepada pokok-pokok pisang).
Kepada yang belum membaca Salina – saya syorkan ada membacanya. Kisahnya penuh tragis, tetapi bukanlah kisah stereotaip dengan watak hitam putih yang lazim kita temui. Ini mengenai keinginan untuk terus hidup disebalik cabaran zaman dan kemiskinan.

