Sebagaimana ramai maklum, pada 15 Januari yang lalu, saya bersama Tan Poh Lai, Ketua Cabang KEADILAN Johor Bahru dan rombongan yang lain telah berhadapan keganasan UMNO ketika cuba mengadakan ceramah di Flat Sri Stulang, Johor Bahru.
Hari ini kami tampil dengan 3 rakaman video insiden tersebut.
Kami pada mulanya tiba sekitar jam 8.30 malam dan berjalan ke flat apabila dihalang kumpulan berpakaian baju UMNO / BN. Mereka enggan membenarkan kami masuk ke dalam sekalipun program kami telah dirancang terlebih awal. Mereka turut mengeluarkan makian dan kata-kata kesat terhadap kami.
Selepas berbincang dengan pihak polis, maka kami berundur sementara untuk menunggu keadaan reda. Kemudian kami cuba masuk dengan kenderaan kami ke perkarangan flat menerusi pintu satu lagi. Kini kami dihalang anak-anak muda berbaju UMNO yang kemudian memanggil kumpulan pertama. Kami cuba masuk dengan berjalan kaki tetapi terus dihalang dan saya turut ditendang (rujuk video a).
Kami kemudian keluar daripada tempat kejadian, sekalipun cuba dihalang beberapa orang UMNO-BN (rujuk video b) dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Majidee Johor Bahru.
Kemudian dengan ditemani teman-teman daripada KEADILAN Pasir Gudang dan Gelang Patah serta PAS bersama-sama pihak polis, kami masuk semula ke tapak ceramah untuk mengambil peralatan ceramah.
Saya telahpun dihubungi pegawai penyiasat kes ini. Saya akan bekerjasama dengan pihak polis untuk siasatan lanjut. Saya berharap pimpinan tertinggi UMNO – Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO, YB Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO dan YB Tan Sri Shahrir Samad selaku Ahli Parlimen Johor Bahru dapat menyatakan dengan jelas pendirian mereka menolak budaya samseng dalam politik.
Rakaman video
(Video a: Di pintu masuk kedua Flat Sri Stulang di mana kenderaan kami dihalang dan ditendang, dan kemudian rombongan kami dihalang dan saya ditendang lelaki di dalam baju BN berwarna biru)
(Video b: Kami terus dihalang beberapa individu ketika kami cuba meninggalkan kawasan tersebut)
(Video c: Kami mengambil peralatan ceramah dengan diiringi pihak polis selepas membuat laporan polis)




