Kenyataan Media saya dan Wong Chen mengenai meter elektronik baru TNB

04 Dec 2012 | Community, Current Affairs | by | 0 Komen

Baru-baru ini telah wujud kemarahan orang ramai mengenai bil eletrik yang melonjak berikutan penggantian meter analog dengan meter elektronik. Di Kelana Jaya sahaja, KEADILAN telah menerima 22 aduan di dalam beberapa minggu ini daripada orang ramai. Ramai yang mendakwa bil mereka telah meningkat antara 20 peratus hingga 50 peratus. Berikutan kemarahan orang ramai dengan pilihan raya yang menjelang tiba, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Dato’ Sri Peter Chin mengarahkan untuk menghentikan program penggantian tersebut.

Di samping itu, TNB dan Menteri telah menjelaskan bahawa sebarang kenaikan penggunaan elektrik selepas penggantian meter adalah berikutan bacaan yang lebih baik dan tepat daripada meter elektronik yang baru. Ini mungkin benar atau tidak, namun penjelasan itu bukanlah jawapan yang memuaskan mengenai potensi saiz beban kewangan yang bakal ditanggung semua pengguna TNB.

Pada hari ini KEADILAN akan mendedahkan bahawa program penggantian meter sebenarnya suatu komitmen kewangan yang cukup besar oleh TNB dan beban kewangan tambahan kepada pengguna boleh mencapai berbilion-bilion ringgit.

Kajian kami menunjukkan buat masa ini ada 8.03 juta pengguna TNB di Malaysia. Kami menganggarkan harga purata meter elektronik baru adalah RM250 setiap unit. Justeru program penggantian ini berpotensi mencapai sehingga RM 2 bilion (8.03 juta unit x RM250).

Untuk tahun kewangan 2012, hasil TNB daripada semua pengguna adalah RM34.4 bilion. Jika meter elektronik baru ini memberi peningkatan konservatif 2 peratus di dalam semua bil elektrik, beban tambahan ke atas pengguna adalah sebanyak RM688 juta setiap tahun. Memandangkan meter elektronik baru ini mempunyai jangka hayat sebanyak 10 tahun, pengguna akan akhirnya membayar RM6.88 bilion lebih kepada TNB untuk tempoh 10 tahun.

Rumusan maklumat:

• Kontrak pembekal sebanyak RM2 billion.

• Potensi kos kepada pengguna: RM6.88 bilion tambahan bil elektrik dalam tempoh 10 tahun.

Maka dengan konteks di atas, isuu ini bukan lagi kes kecil beberapa pengguna yang tidak berpuas hati dengan kenaikan 50% terhadap bil elektrik mereka. Perkara ini sewajarnya dilihat sebagai isu kepentingan nasional yang melibatkan berbilion-bilion ringgit.

Justeru pada hari ini, KEADILAN menggesa lebih kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam program penggantian TNB. Khususnya, rakyat berhak mengetahui perkara berikut:

1. Siapakah pembekal meter elektronik baru kepada TNB?

Kajian kami menunjukkan TNB mempunyai lima pembekal. Salah satu daripada syarikat tersebut, Malaysian Intelligence Meters Sdn Bhd dimiliki sebahagiannya oleh keluarga bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

2. Apakah harga yang dibayar untuk meter-meter baru ini? Adakah harganya berdayasaing pada standard tempatan dan antarabangsa?

Kajian kami menunjukkan harga purata meter elektronik satu dan tiga fasa ialah RM250 setiap satu.

3. Adakah tender perbekalan dibuat secara tender terbuka atau runding terus? Butir-butir penuh dan telus seharusnya diberikan oleh TNB.

Di samping menjawab soalan-soalan di atas, KEADILAN berpendapat memandangkan potensi peningkatan beban terhadap pengguna mungkin sehingga berbilion-bilion ringgit, kerajaan mestilah menubuhkan sebuah badan yang bebas dan berwibawa untuk menyiasat aduan pengguna. Badan ini sepatutnya diberi kuasa untuk menguji meter baru sebagai pengimbangtara dan membuat dapatan bebas yang mengikat TNB dan pengguna. Operasi ini mestilah dibiayai sepenuhnya oleh TNB yang akhirnya akan untung berbilion-bilion ringgit daripada program penggantian ini.

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main