Sidang DUN Selangor: Ucapan Mencadangkan Usul Menerima Penyata SELCAT tentang Permohonan Pembangunan PKNS & Rancangan Tempatan PJ 2

30 Nov 2012 | Community, Current Affairs, DUN | by | 2 Komen

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Saya telah membangkitkan isu Kompleks Sukan dan Padang PKNS SS7 Kelana Jaya di dalam Dewan Negeri dengan kerjasama Jawatankuasa Selamatkan Padang Rakyat sejak 2011 lagi.

Saya bersama-sama wakil penduduk SS7 Kelana Jaya telah bertemu dengan wakil PKNS, Pengurus Kanan Pembangunan Bisnes Puan Norzila Sidek pada Mac 2011, di mana penduduk membangkitkan keprihatinan tentang cadangan membangun semula Kompleks Sukan PKNS yang mereka maklum menerusi iklan tender di akhbar.

Di dalam pertemuan tersebut, Puan Norzila menjelaskan bahawa pembangunan semula Kompleks Sukan PKNS tidak akan menjejaskan padang.

Pada bulan Oktober 2011, PKNS telah mengemukakan permohonan kebenaran merancang di mana pembangunan semula tersebut akan merangkumi padang PKNS. Mengikut salinan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang dibekalkan waktu itu, Kompleks Sukan PKNS ini terletak di bawah zon komersial.

Pusat Setempat (OSC) MBPJ kemudiannya menolak permohonan tersebut di atas sebab teknikal memandangkan permohonan untuk membina bangunan kediaman sedangkan di bawah RTPJ2 Kompleks Sukan PKNS dizonkan sebagai zon komersial bukan kediaman. Permohonan PKNS juga dibuat pada kepadatan 1:6 bertentangan dengan syarat MBPJ yang hanya membenarkan 1:4.

Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian,

Pada November 2011 saya telah bertanya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar tentang isu ini. Dato’ Menteri Besar telah menyatakan bahawa Kompleks Sukan PKNS telah dizonkan sebagai tanah komersial di bawah RTPJ2.

Dato’ Menteri Besar sebagai Pengerusi PKNS telah kemudian meminta PKNS bertemu penduduk sebelum membuat sebarang permohonan semula. Justeru pada Mei 2012, Yang Berhormat Bukit Antarabangsa, di dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Exco PKNS bersama pihak pengurusan kanan PKNS telah hadir di dalam dialog yang saya aturkan bersama penduduk. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat Bukit Antarabangsa di atas inisiatif ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Namun berikutan usaha Jawatankuasa Selamatkan Padang Rakyat, pada Jun 2012 didapati bahawa wujud beberapa versi RTPJ2, di mana versi asalnya menyatakan bahawa Kompleks Sukan PKNS terletak di dalam zon padang rekreasi.

Implikasi pindaan ini sangat besar. Pada nilaian sekarang, sekiranya tanah ini kekal sebagai zon rekreasi, nilainya hanyalah lebih kurang RM20 sekaki persegi, tetapi sebagai zon komersial nilainya boleh meningkat sehingga RM500 sekaki persegi, peningkatan 25 kali ganda!

Saya telah menggesa agar isu pindaan RTPJ2 secara tidak sah ini disiasat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Kewibawaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

SELCAT telah menyiasat isu permohonan pembangunan tanah padang PKNS Kelana Jaya yang berhubungkait dengan RTPJ2.

Penyata SELCAT telah mendedahkan betapa seriusnya isu ini. Wujud tiga versi draf RTPJ2:

a) Versi pertama yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri dan dipersetujui oleh MMKN;

b) Versi kedua yang dipinda bersama oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor (JPBD) dan MBPJ sebelum penyiaran Warta Negeri mengenai persetujuan MMKN; dan

c) Versi ketiga yang dipinda oleh MBPJ selepas penyiaran dalam Warta Negeri.

Saksi-saksi daripada JPBD telah menegaskan bahawa sejak awal lagi mereka telah meletakkan Kompleks Sukan PKNS dalam zon rekreasi dan tanah lapang. Hakikat ini diakui oleh saksi-saksi MBPJ.

Wujud 210 pindaan termasuk 59 pindaan zon terhadap draf RTPJ2 oleh pihak MBPJ. Apabila ditanya SELCAT, saksi MBPJ tidak dapat menjelaskan mereka membuat pindaan tersebut atas arahan siapa. Malah Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ Puan Faiwos Abdul Hamid mengatakan pindaan dibuat kerana, “mengambil spirit daripada arahan Tan Sri Menteri Besar di dalam Mesyuarat Perancang Negeri”.

Saksi JPBD sendiri telah menegaskan bahawa teguran Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar merupakan teguran umum tentang perubahan Rancangan Tempatan MBSA dan MPSJ yang masih lagi belum selesai, bukan mengenai RTPJ2. Dato’ Menteri Besar sendiri mengingatkan bahawa prosedur undang-undang hendaklah diikuti.

Sebagaimana saya bangkitkan di dalam perbahasan enakmen perbekalan peringkat jawatankuasa dua hari yang lepas, bayangkan, seorang pegawai kerajaan cuba memutarbelitkan kata-kata Menteri Besar di dalam hal ini!

Saksi-saksi MBPJ juga mengakui bahawa tindakan mereka meminda zon tidak merujuk kepada sebarang asas perundangan tetapi merupakan ‘amalan biasa’. Bagi saya ini sebenarnya bukan biasa tetapi kenyataan luar biasa daripada pegawai-pegawai kerajaan!

Siasatan SELCAT turut mendapati ketika draf RTPJ2 dipamerkan kepada orang ramai selaras dengan seksyen 13 Akta Perancangan Bandar dan Desa, PKNS tidak membantah bahawa Kompleks Sukan PKNS dizonkan sebagai zon rekreasi dan tanah lapang. Sekiranya PKNS begitu prihatin tentang kepentingan mereka, mengapa PKNS, sebuah badan berkaitan kerajaan yang mempunyai kepakaran yang lama dalam pembangunan hartanah di Selangor tidak membuat bantahan?
PKNS dan rakan kongsi mereka sepatutnya melakukan due diligence di peringkat awal untuk menjaga kepentingan merekia. Sebaliknya PKNS hanya berminat untuk memajukannya selepas digazetkan sebagai kawasan lapang.

Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,

Pada 12 November tahun ini, PKNS menerbitkan sebuah risalah tentang isu Kompleks Sukan PKNS. Malangnya risalah tersebut merendah-rendahkan kepentingan RTPJ2.

Rumusan SELCAT ialah jelas bahawa Kompleks Sukan PKNS merupakan zon rekreasi dan tanah lapang dan remedi untuk PKNS sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan RTPJ2 ialah di bawah seksyen 37 Akta Perancangan Bandar dan Desa di mana mereka boleh meminta Kerajaan Negeri mengambilsemula Kompleks Sukan.

Namun PKNS mestilah mengambil pendekatan berbeza memandangkan PKNS mempunyai sejarah yang baik sebagai pemaju dengan kesedaran dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Harus diingat, komuniti Kelana Jaya secara umumnya merupakan pembeli rumah PKNS. Kehilangan goodwill di kalangan komuniti ini akan menjejaskan imej PKNS dengan teruk. Paling penting, PKNS merupakan sebuah agensi berkaitan kerajaan.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada JPBD yang telah mengakui kesilapan di dalam pindaan tidak sah RTPJ2 dan kenyataan mereka membetulkan saksi daripada MBPJ ketika pendengaran SELCAT. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada MBPJ khususnya Dato’ Bandar Dato’ Roslan Sakiman, Timbalan Dato’ Bandar Puasa Md Taib dan Ahli Majlis Derek Fernandez yang mengambil tindakan membetulkan kesilapan MBPJ dengan menggunakan RTPJ2 yang sah dan melakukan audit terhadap kakitangan yang terlibat. MBPJ juga telah membuat laporan polis berikutan isu ini. Yang paling penting saya ingin menrakamkan penghargaan terhadap penduduk khususnya Jawatankuasa Selamatkan Padang Rakyat yang telah berjuang dengan gigih untuk mempertahankan padang PKNS dan membongkarkan pindaan terhadap RTPJ2.

Yang pentingnya, saya menggesa Kerajaan Negeri kini memainkan peranan meminta PKNS menarik balik rayuan kepada Lembaga Rayuan selepas pelbagai kontroversi yang dilalui. Apatah lagi isu ini membabitkan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkaitan Kerajaan, bukan pemaju swasta.

Seri Setia mohon mencadang.

  • Noniivan

    yb,
       tepat.isu ini membabitkan melati ehsan bhd (swasta) yang tentu akan saman pkns.yang sedih konsultant melati ehsan tak akan dapat payment yb.
       dekat pkns,mr yap dari yts architecture tu selalu meddle.bila
    melati ehsan menang tender,dia akan take over.he therefore is 
    always the consultant for big jv pkns potential projects.dia jaga
    gm lah tu.
       kalau rgt1.6bilion,melati ehsan bayar 7%.itu sudah lebih rgt
    100milion.bayar dekat yts architecture.berapa gm dapat?
       itulah sebabnya pkns rayu.

       untuk byk lagi project pkns,ytsarchitecture akan jadi konsultant.
    duit bayar melalui dia kah?

  • maman

    saya sekeluarga mengucapkan banyak terima kasih kepada nama besar AKI
    GENDENG SAKTI berkat bantuan beliu memberikan saya angka ritual super
    jitu, benar2 terbukti tembus bukan hanya omongan belaka saja memang
    paling akurat,,,,,,
    saya dan keluarga saya dapat THR untuk lebaran Rp, 169, jt,
    ATAS
    nama besar AKI GENDENG SAKTI saya sekeluarga mengucapkan banyak terima
    kasih yg sebesar-besarnya, saya tdk salah memili AKI untuk menjadi
    member beliu
    bahkan saya tdk percaya kalau saya akan dapat THR sebesar itu,
    jadi jika anda para pecinta TOTO SGP/HK yg ingin dpt THR seperti saya
    hub L,sung AKI GENDENG SAKTI No 082317877769
    untuk mengubah nasib dan sukses seperti saya anda harus yakin dan percaya,,,,,
    insyah allah anda tidak akan kecewa,,,,,,
    terima kasih,,,,,, untuk room nya salam,,,,,jp pak maman di bima,,, pecinta togel

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main