Kolum saya di Sinar Harian: perangkap politik perkauman

12 Nov 2012 | Articles, Current Affairs | by | 2 Komen

Kesudahan ini memang boleh dijangka. Selepas berhadapan retorik perkauman UMNO selama ini, MCA mengikut tauladan “abang sulungnya” dengan mengambil pendirian anti Islam yang melampau demi menakut-nakutkan masyarakat Cina untuk kembali menyokongnya.

Sejak kemenangan besar BN pada 2004, politik UMNO telah berubah menjadi lebih perkauman. Meskipun kegagalan besar yang dialami UMNO-BN pada 2008 akibat undi protes daripada pengundi Melayu di bandar serta pengundi bukan Melayu telah menyebabkan Perdana Menteri baru Najib Razak cuba memoderatkan retorik partinya, namun UMNO dan pelbagai NGO tajaannya terus membakar api perkauman.

Justeru, di dalam usaha mencari taktik baru mendapat undi masyarakat Cina, maka Presiden MCA Dr Chua Soi Lek telah mengambil keputusan untuk sekali lagi memainkan isu hudud. Tetapi taktik ini mendedahkan kontradiksi strategi BN: ketika mana UMNO terus menyerang Pakatan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, parti sekutunya sendiri mempermain-mainkan Islam.

Ya, bukanlah luar biasa sebuah parti yang mewakili etnik bukan Islam terbesar di Malaysia untuk memberikan pandangan mereka terhadap pelaksanaan syariat Islam. Tetapi bahasa biadab Soi Lek di dalam isu kompleks seperti hudud telah memberikannya imej cauvinis Cina, label yang selama ini UMNO berikan kepada musuh MCA, DAP.

Hakikatnya tindakan MCA ini mendedahkan ketandusan ideologinya dan ketandusan idea yang lebih luas di kalangan BN secara keseluruhannya. Pentadbiran UMNO-BN yang terlalu lama telah menghakis hubungan antara kaum dan hak minoriti. Dengan memberikan gambaran bahawa Pakatan akan memusnahkan kedua-duanya menjadi dakwaan tersebut satu dakwaan yang palsu.

Pokoknya BN tiada idea atau rancangan untuk Malaysia melainkan mengekalkan kuasa. Tindakan dan retorik pimpinannya membuktikan mereka sanggup berbuat dan berkata apa sahaja untuk kekal di tampuk pemerintahan. Malaysia tidak memerlukan kepimpinan yang membakar sentimen etnik dan agama bagi bersaing dan bergerak ke hadapan. .

‘Kitaran semula’ isu hudud ini menggambarkan perangkap politik perkauman BN. Selama lima puluh tahun model politiknya dapat berfungsi dengan baik – dengan setiap parti komponen BN mewakili kepentingan setiap kaum secara bersendiri dan kepentingan nasional secara bersama. Mungkin Onn Jaafar terlalu kehadapan untuk zamannya ketika mencadangkan UMNO membukakan pintu mereka kepada masyarakat bukan Melayu pada 1951.

Model politik ini memerlukan semua kaum mempunyai perwakilan mereka di dalam pimpinan negara. Justeru, apabila MCA kecundang teruk di dalam pilihan raya 1969, model Parti Perikatan digantikan dengan model BN menerusi penyerapan Gerakan dan parti-parti lain. Namun ketika itu imbangan kuasa di dalam BN telahpun beralih kepada UMNO.

  • Gx

    Paragraph 5, wrong party stated there

  • http://www.niknazmi.com Nik Nazmi

    Thanks, amended 

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main