Kenyataan Media: Tuduhan Sanusi Tidak Berasas

Kenyataan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut Sanusi ketika sebuah forum ekonomi Melayu semalam, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Tun Daim Zainuddin cuba ‘meniru’ dasar anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada masyarakat bukan Melayu.

Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu – Hong Leong Bank dan Alliance Bank.

Tuduhan Sanusi tidak berasas. Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin.

Daim dikatakan memiliki 14.8% AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd. Langkah Bahagia bersama-sama pihak-pihak berkaitan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd mempunyai kepentingan di dalam AFG menerusi Vertical Theme Sdn Bhd.

Hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli Malaysian French Bank. Malaysian French Bank kemudian dinamakan Multi-Purpose Bank. Pada 1997, Langkah Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah). Salah seorang pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali mengumumkan bahawa beliau bertindak bagi pihak Daim.

Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG.

Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni UMNO-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran. Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar.

Nyata sekali kenyataan Sanusi adalah fitnah semata-mata yang tidak berasas. Ketaksuban beliau di dalam menyerang Anwar dan mempertahankan Mahathir dan Daim membuatkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi yang telah menjadikan rakyat Malaysia umumnya dan Melayu umumnya sebagai mangsa.

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main