Kenyataan Media: Pembelian IPP oleh kerajaan pada harga tinggi timbulkan banyak persoalan

Keputusan kerajaan untuk membeli penjana kuasa bebas (IPP) tertentu menerusi 1MDB pada harga yang tinggi menimbulkan banyak persoalan. 1MDB telah membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd daripada Tan Sri Ananda Krishnan pada Mac dan Mastika Lagenda Sdn Bhd daripada Genting Bhd pada Ogos. Mastika Lagenda memilikki 75 peratus saham Genting Sanyen.

Kos pembelian saham Tanjong tersebut adalah RM8.5 bilion sementara pembelian saham Genting pula RM2.55 bilion.

Ananda telah membeli semula Tanjong PLC yang memiliki Tanjong Energy daripada pasaran pada September 2010, ketika mana beliau membayar RM8.8 billion untuk keseluruhan kumpulan pada RM21.80 setiap saham. Tanjong Energy menyumbang sekitar 75 peratus kepada pendapatan dan keuntungan kumpulan. Justeru Tanjong Energy boleh dikatakan dinilaikan pada RM6.6 bilion harga yang dibayar oleh Ananda untuk keseluruhan kumpulan. Kini, dengan menjual Tanjong Energy kepada 1MDB pula, Ananda membuat keuntungan RM1.9 bilion.

Genting pula mengumumkan bahawa mereka mendapat keuntungan bersih kira-kira RM1.9 bilion daripada penjualan saham mereka kepada 1MDB. Ini merupakan satu keuntungan besar, apatah lagi apabila mengambil kira keuntungan yang dibuat Genting sejak mereka beroperasi pada 1995.

Mastika memiliki dana pemegang saham sebanyak RM422 juta, bermakna pembelian RM2.5 bilion oleh 1MDB mewakili nisbah harga-buku sebanyak 6 kali. Ini adalah lebih tinggi daripada nisbah harga-buku purata saham-saham penjana kuasa di rantau ini. Malah, lebih murah untuk membina penjana kuasa saiz yang sama baru daripada membeli penjana kuasa milik Genting yang sudah berusia 17 tahun.

Kerajaan Selangor juga memiliki 25 peratus saham Genting Sanyen menerusi PKNS. Mengapakah 1MDB hanya membeli saham Genting tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat Selangor dengan turut membeli saham PKNS?

Apatah lagi, konsesi generasi pertama IPP akan tamat pada 2016 dan 2017. Suruhanjaya Tenaga telah mengumumkan bahawa sebarang perjanjian baru akan lebih kompetitif buat IPP. Tambahan pula, perjanjian pembelian gas antara Genting dan Petronas akan tamat kurang dari tiga tahun lagi. Justeru sebarang nilai yang lumayan untuk IPP tidak munasabah kecualilah, di sebalik jaminan Suruhanjaya Tenaga, akan ada lagi perjanjian IPP yang berat sebelah seperti dahulu yang merugikan Petronas, TNB dan pembayar cukai.

1MDB menegaskan bahawa mereka merupakan syarikat pembangunan strategik yang dimiliki oleh kerajaan. Maka 1MDB mestilah memberikan jawapan sama ada pembelian IPP-IPP ini dibuat untuk kepentingan rakyat atau untuk menguntungkan kelompok kecil kroni-kroni mereka.

Beli Buku Saya

Mendepani Zaman Moving Forward
Beli Buku Saya: Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 RM24.90 dari Kinibooks
Buy My Book: Moving Forward - Malays for the 21st Century RM24.90 from Kinibooks

Blogroll

Main