Sambutan Hebat Rakyat Selangor kepada Sheikh Yusuf Qaradhawi

Minggu lepas saya diminta bantu uruskan program Syarahan Perdana Sheikh Yusuf Qaradhawi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Saya mempunyai beberapa hari sahaja untuk melaksanakan program tersebut. Panik saya dibuatnya. Tambahan pula dengan Konvensyen Pakatan Rakyat serta beberapa lagi program Kerajaan Negeri, memang banyak acara yang berlaku di Shah Alam dan melibatkan saya dan rakan-rakan lain. Apatah lagi kapasiti Masjid Negeri yang merupakan masjid terbesar negara. Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bertanya saya setiap hari bagaimana promosi dan pelaksanaan program tersebut.

Lantas, memandangkan program Sheikh Yusuf ini terlalu suntuk, maka saya sendiri menghadiri mesyuarat dengan pihak JAIS, masjid dan jawatankuasa penyambut beliau agar program tersebut berjaya. 

Pada Sabtu lepas, hari program beliau, saya tiba sekitar jam 6.45 petang di masjid. YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sudahpun berada di sana. Saya turut bersua dengan Dato’ Nazri Abdullah, Dr. Muhammad Noor Manuty, Fadhlullah Wilmot dan beberapa individu-individu lain. Tidak lama kemudian, Sheikh Yusuf Qaradhawi tiba bersama rombongannya, disusuli Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Waktu itu saya tidak yakin lagi dengan kehadiran orang ramai. Saya sibuk menghubungi pelbagai pihak ketika Sheikh Yusuf, Tan Sri Khalid, Datuk Seri Anwar berserta Dato’ Dr. Hassan Ali dan lain-lain pimpinan menikmati jamuan ringkas – termasuk buah ‘babaya’ – papaya – yang dikatakan diminati Sheikh Yusuf sebelum waktu Maghrib.

qaradawi001

Orang ramai mula memenuhi dewan sejurus selepas Solat Maghrib. Kami yang berada di saf depan akhir tertolak kebelakang dengan asakan ribuan orang yang datang dari sisi ruang solat. Saya bangun, menoleh kebelakang dan melihat ribuan jemaah memenuhi masjid.

Alhamdulillah, berkat kehadiran ulama’ tersohor ini, kerisauan saya tidak menjadi realiti. Walaupun notis singkat, namun dengan usaha gigih jawatankuasa penyambut serta pihak masjid, dewan utama Masjid dipenuhi kira-kira 6,000 jemaah, lelaki dan wanita, rakyat Malaysia dan warga luar yang mahu mendengar ucapan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi.

qaradawi002

Tan Sri Khalid memperkenalkan Sheikh Yusuf. Dalam pengenalannya, Tan Sri meluahkan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor mendapat penghormatan ulama’ kontemporari ini bersetuju datang ke Shah Alam. Beliau menerangkan bagaimana Usrah di Kediaman Rasmi MB Selangor menggunapakai Fiqh Daulah dari Perspektif al-Quran dan Sunnah yang dikarang Sheikh Yusuf sendiri.

img_9377.jpg

Sheikh Yusuf pun memulakan ucapannya di dalam Bahasa Arab, dan terjemahan secara mendalam dilakukan oleh Ustaz Ghani Shamsuddin. Dalam ucapan beliau, beliau menyentuh bagaimana beliau mula mengenali Malaysia menerusi seorang pemimpin muda dari ABIM yang baru dibebaskan ISA. Beliau kerap ke Malaysia hinggalah pemimpin tersebut menjadi mangsa pergelutan politik UMNO. Pemimpin tersebut, yang beliau gelarkan al-muftara alaih (yang difitnah) tidak lain dan tidak bukan adalah Anwar Ibrahim.

“Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak 25 tahun yang lalu. Ketika itu Anwar adalah presiden Abim. Apabila Anwar menyertai kerajaan, hubungan kami masih akrab. Setelah Anwar difitnah dan dipenjarakan, saya sering mendoakan agar beliau tabah dan tidak mengalah. Sekarang beliau adalah harapan kepada rakyat yang mencintai keadilan dan kemanan sejagat.

“Saya minta tuan-tuan dan puan-puan agar bersama-sama Anwar Ibrahim untuk mengangkat martabat kemanusian yang meletakkan keadilan dan prinsip Islam sebagai asas perjuangan.”

Sheikh Yusuf menekankan kisah hijrah sempena sambutan Maal Hijrah dalam ceramahnya. Pengajaran besar peristiwa Hijrah, kata Sheikh Yusuf, adalah kesabaran Rasulullah s.a.w. yang menjadi kemenangan baginda.

Di samping itu, umat Islam mestilah menaruh keyakinan terhadap janji Allah s.w.t.

qaradawi004

Sheikh Yusuf turut menyentuh soal fitnah termasuk peristiwa menimpa Saidatina Aisyah r.a. dan hukuman qazaf terhadap mereka yang menuduh mukmin berzina tanpa bukti.

Selepas program tersebut tamat, saya sempat bersama pimpinan ke bilik santapan.

Alangkah baiknya jika masjid kita senantiasa hidup begini!

Beberapa catatan blog:

Gambar-gambar adalah dari Fairuz Sulaiman dan Ummu Asiah.

5 Komen

  1. Zulkifli Kulim cuba guna nama Yusuf Qardawi untuk sucikan Anwar ? « Pedang Alif Ba Ta:

    [...] Menteri dibandingkan ketika bersama Anwar Ibrahim di Masjid Negeri Shah Alam malam Ahad lepas ( klik sini [...]

  2. azri:

    salam nik nazmi..anda silap dlm menyiarkan informasi.ini tidak beretika..sy juga da mengikuti ceramah beliau ketika itu..sy fahami bhsa arab dengan baik..tidak sesekali qardawi bermaksud kan begitu..tolong jgn mepergunakan nama ulama dlm mana2 perjuangan politik anda atau sesiapa sahaja..maaf anda tidak jujur dlm perjuangan anda.

  3. Nik Nazmi:

    Salam,

    Maaf jika tersilap catat, tetapi itu yang saya dapat daripada terjemahan Ustaz Ghani Shamsuddin dan juga terjemahan beberapa rakan-rakan yang hadir.

    Tiada niat untuk saya seleweng fakta.

  4. Fakrul Othman:

    Terjemahan boleh diputarbelitkan.

  5. JeBoN:

    kalu xtahu bhasa arabia, jngn nak memandai2 dpt dosa kring je xtakut ke muflis d akhirat kelak.

PENDAPAT ANDA?