Saya baru pulang dari Klinik Khidmat Rakyat DUN Seri Setia. Saya adakan Klinik tersebut setiap Selasa malam Rabu, jam 9 malam – 11 malam bagi memberikan peluang penduduk Seri Setia yang perlu bertemu dengan saya berbuat demikian. Pada masa lain Pusat Khidmat Rakyat saya di Dataran Glomac dikendalikan oleh kakitangan saya.
Setiap kali diadakan Klinik Khidmat Rakyat pelbagai kisah masyarakat ada. Banyak perlukan bantuan kewangan, ada yang memohon rumah Projek Perumahan Rakyat dan ada yang mahu anjurkan program dengan saya. Tidak kecuali juga peniaga-peniaga yang bertanya kepada saya peluang perniagaan di Selangor. Penjaja-penjaja datang meminta perniagaan mereka ‘diputihkan’.
Biasanya saya akan membawa masalah kewangan ke pengetahuan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Lembaga Zakat Selangor untuk tindakan lanjut.
Sebentar tadi ada beberapa kisah masyarakat. Ada seorang wanita yang kurang sihat yang terpaksa berhenti daripada kerjanya kerana penyakit yang dihidapinya. Namun apabila saya tanyakan Socso, beliau menjelaskan beliau langsung tidak tahu sama ada beliau punya Socso atau tidak. Saya mengaturkan untuk pejabat saya membantu beliau.
Seorang lagi wanita juga tidak tahu tentang status bantuan sewa rumah yang dimohon dari Kerajaan Pusat. Tunggakan PPRnya semakin meningkat.
Ramai juga datang kepada saya meminta menyelamatkan rumah mereka yang bakal dilelong. Biasanya saya akan meminta jasa baik bank jika dapat menangguhkan tindakan tersebut. Namun kuasanya bukan di tangan saya.
Kita perlu memikirkan bagaimana sekiranya dapat diwujudkan Sistem Jaringan Sosial yang lebih komprehensif bagi membela nasib rakyat kita. Sistem sedia ada terlalu terhad dan wujud terlalu banyak kerenah birokrasi. Rakyat yang tidak mendapat pendidikan lebih teruk dipinggirkan.
Juga, masalah yang semakin serius juga pertikaian Joint-Management Body dengan pemaju dan pihak utiliti seperti TNB dan Syabas. Masalah ini boleh dikatakan baru tetapi saya yakin menjadi lebih serius dengan perkembangan kondominium yang semakin pesat.
Itulah serba sedikit, kisah masyarakat Seri Setia.

