Pelabuhan Klang: Siapa Hilang Keyakinan dengan Siapa?

02 Nov 2009 | Current Affairs, Personal | by admin | 13 Komen

Berita ADUN Pelabuhan Klang, YB Badrul Hisham Abdullah keluar Parti Keadilan Rakyat pada 29 Oktober 2009 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Pada pagi hari yang sama saya mengeluarkan kenyataan media menyatakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim berhasrat memaklumkan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan untuk meminta Badrul letak jawatan.

Di dalam Dewan Negeri Selangor kerusi saya di antara Badrul dan YB Haniza Talha, Timbalan Speaker Dewan merangkap ADUN Taman Medan. Namun beliau langsung tidak pernah berucap di dalam Dewan, sekadar bertanya soalan.

Ketika awal-awal timbul rungutan orang ramai dan akar umbi Keadilan terhadap prestasi Badrul saya bertemu dengan beliau. Malah, saya mengaturkan pertemuan beliau dengan Tan Sri Khalid. Dalam setiap pertemuan beliau meluahkan masalahnya dengan pimpinan cabang Klang dan berjanji memperbaiki prestasi beliau.

Awal tahun ini apabila cerita beliau hendak lompat parti mula tersebar, saya menghubunginya. Selepas mendapat penjelasan beliau, kami mengadakan sidang media bersama YB Azmin Ali dan YB Amirudin Shari menafikan kisah tersebut.

Namun rungutan orang ramai terhadap beliau semakin berterusan. Saya memanggil beliau untuk datang berjumpa Menteri Besar. Beliau bersetuju. Apabila tiba hari yang dijanjikan, beliau tidak hadir sebaliknya menghantar pembantunya sebagai wakil.

Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terpaksa memanggil beliau suatu petang bersama-sama saya bagi meyakinkan beliau untuk memberi kerjasama penuh dengan saya dan Menteri Besar.

Apabila Badrul tidak mengubah sikap, masih sukar berbincang dan ramai merungut tentang pengurusan peruntukan beliau, maka saya mengunjung beliau bersama pimpinan Keadilan Cabang Klang pada 14 Mei 2009 bagi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang memberikan saya tanggungjawab menguruskan peruntukan DUN beliau. Lawatan saya ke rumah beliau dibuat secara mengejut agar beliau tidak boleh mengelakkan daripada bertemu saya.

Pada pertemuan tersebut yang mana turut dihadiri isteri dan pembantu-pembantu Badrul, beliau bersetuju dengan perubahan tersebut. Saya sendiri memaklumkan saya akan menyokong sebarang aktiviti yang Badrul anjurkan sekiranya dibuat permohonan lengkap.

Namun sejak hari itu beliau sukar dihubungi. Saya tidak pernah berjaya menelefonnya secara langsung – mengalahkan Datuk Seri Anwar mahupun Tan Sri Khalid dalam ‘kesibukannya’! Pada sidang DUN yang lalu beliau tidak hadir, dan mula-mula menghantar surat memaklumkan keuzuran yang ditandatangani oleh pembantu beliau. Apabila saya memaklumkan YB Tuan Speaker tidak boleh menerima surat begitu, barulah Badrul menghantar surat yang ditandatanganinya sendiri.

Penduduk Pelabuhan Klang merungut tidak menerima bayaran Skim Mesra Usia Emas, sehingga Kerajaan Negeri memindahkan pengurusan skim tersebut di bawah saya demi kebajikan rakyat. Bukanlah saya teringin sangat hendak mengambil alih pengurusan DUN nya, memandangkan saya pun banyak tanggungjawab lain termasuk DUN saya sendiri. Malah YB Ronnie juga terpaksa ‘menyerbu’ rumahnya kerana YB Ronnie yang merupakan ADUN Pandamaran yang berjiran dengan Pelabuhan Klang terlalu kerap menerima rungutan orang ramai tentang Skim Mesra Usia Emas di sana.

Beliau juga tidak memulangkan deposit pilihan raya sebanyak RM8000 yang didahulukan oleh Keadilan pada penamaan calon hingga hari ini.  

Seorang demi seorang pembantu beliau meninggalkannya. Ramai datang bertemu saya merungut kebajikan mereka tidak terjaga.

Selepas peristiwa itu, YB Azmin dan saya merancang membuat lawatan mengejut lagi ke rumahnya. Tetapi apabila berita tersebut dihidu Badrul, beliau meninggalkan rumahnya dan berpesan kepada seorang anggota Keadilan Klang agar saya dan YB Azmin membuat temujanji sekiranya hendak bertemu. Bagaimana nak buat temujanji kalau tak boleh dihubungi?

Bagi setiap program yang mana saya dijemput selaku Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, saya minta Badrul dimaklumkan. Namun beliau tidak pernah hadir. Dalam satu program penyampaian zakat di Masjid di Pelabuhan Klang yang beliau maklumkan akan hadir, yang tiba cumalah pembantunya dengan teks ucapan beliau di penghujung program.

Beliau tidak lagi hadir program orang ramai, sebaliknya menghilangkan dirinya entah ke mana. Pusat Khidmat Rakyatnya juga akhirnya tutup, sedangkan beliau terus mendapat elaun pejabat dan dua pembantunya terus dibayar Kerajaan Negeri.

Saya ada menerima surat tentang tuntutan beberapa bayaran dari Badrul. Saya menghantar pesanan agar kami dapat bertemu untuk saya mengesahkan permohonan tersebut. Tetapi tiada jawapan.

Sehingga ke minggu lepas, pintu rundingan masih dibuka. Berkali-kali Tan Sri Khalid memaklumkan pada saya keinginannya untuk bertemu Badrul, namun setiap pesanan yang saya hantar tidak mendapat sebarang jawapan.

Kenyataan Tan Sri Khalid dibuat memandangkan sudah tiada pilihan lain.

Justeru, saya sedikit lucu dengan kenyataan Badrul apabila mengumumkan keluar dari Keadilan – menjadi seorang lagi YB ‘Bebas menyokong BN’ – beliau menyatakan beliau hilang keyakinan terhadap Keadilan. Mengapa selepas Tan Sri Khalid minta beliau letak jawatan baru beliau hendak keluar menghadap orang ramai dan umumkan beliau keluar dari parti? Pelbagai perkara yang sudah lama berlaku disebut, tetapi hanya sekarang beliau berani bersuara?

Hakikatnya, rakyat sudah lama hilang keyakinan kepada beliau!

13 Komen

  1. Zamir Rashid:

    PRU lepas, konsep ABU (asalkan bukan UMNO) menjadi seperti rahmat untuk parti pembangkang. Bulat2 rakyat menolak UMNO/BN. Sesiapa sahaja yg diletak untuk bertanding dgn calon UMNO/BN di pangkah…the result was a huge win for PR. Adakah kini ia menjadi badi kepada PK? Adanya wakil2 rakyat yang tidak berkualiti didalam parti menjadi seperti duri dalam daging. Bukan kali pertama kita melihat masalah dgn punca yang sama (jangan lupa apa yg terjadi di Perak).

    IMHO, kerajaan negeri Selangor secara keseluruhannya perlu memainkan peranan yang lebih besar untuk personal development semua ADUN, menaikkan kualiti serta komitmen semua wakil2 rakyat. HR development tidak hanya diperlukan oleh syarikat2 sahaja. Kerajaan negeri juga merupakan ‘an employer’, and as an employer, HR development adalah sngat penting untuk continuous development of the institution.

    Menurut YB Nik Nazmi, masalah YB Badrul telah diketahui oleh pihak atasan kerajaan negeri. Stiffer actions should have been taken much earlier, and the situation shouldn’t have been allowed to escalate smpi mcm skrg ni. All this negative press and publicity will do much harm to kredibiliti kerajaan negeri.

    Memegang amanah yg telah diberikan oleh rakyat negeri Selangor untuk mentadbir negeri wajiblah dilakukan dgn bersungguh sungguh. Jangan sampai rakyat mula hilang keyakinan kepada pemerintahan kerajaan negeri pula.

    All the best.

    Zamir

  2. nora:

    ini orang giler duit. kerja tak buat, rakyat tak dijaga tuntututan di buat . orang macam ini memang tak patut jadi wakil rakyat. elok lah dia jadi wakil rakyat bebas-BN . tak akan kemana nya dia ni. Bebas -BN ni boleh rajin buat kerja ke?

  3. fedup:

    bubar dewan negeri s`gor sebelum banyak lagi katak mula melompat. ini adalah amaran yang serious.

  4. chor:

    Ramai lagi yang sebegini. Teruskan pembersihan.

  5. Firdaus:

    saya setuju dgn Zamir Rashid, konsep ABU (asalkan bukan UMNO). maka dgn itu, wakil2 rakyat yg tidak berkualiti telah dipilih.

    Seharusnya, jika Badrul tidak buat kerja, kesalahan terletak pada 2 perkara. pertama badrul sendiri & kedua PKR.

    amat dikesali kerana disebabkan WAKIL RAKYAT yg tidak berkualiti maka rakyat kawasan itu yg sengsara. Perkara ini seharusnya menjadi pengajaran kepada PKR & PR. Masa akan datang, PKR haruslah pilih calon yg boleh berkhidmat pada rakyat. Jangan jadikan alasan menuding jari kesalahan pada lawan atau org lain. Setiap keburukan dtg dari kita sendiri & kebaikan hanya dari Allah SWT

    Apapun setiap kesilapan adalah baik utk kita. Menjadi pengajaran masa depan. PKR haruslah memilih calon yg berkualiti, jangan main ambik jer masa dpn.

    Selamat Berjaya

  6. ahmad rushdi:

    pertama sekali : macamana pkr boleh tersalah pilih mamat ni jadi calon .. kalau masa pengundian sebagai calon boleh gi balik tido itu saja dah cukup alasan untuk tidak menyimpan mamat ni …
    kedua : biarlah mamat tu pergi , kalau sampai boleh menjatuhkan kerajaan pun, mamat cam tu tak leh disimpan jadi tak yah le kita buang masa banyak berbicara hal dia .
    kita jaga pakatan rakyat kat selangor dan alert dengan segala perangkap dan usaha untuk menjatuhkan kerajaan PR di selangor

  7. soul survivor:

    in politics u have to be tough and decisive.it is not a merry go round job!action should have been made long ago but yr indecisiveness had cost a laibility to selangor’s PR reputation.political repair need to be done not defending but in attacking mode.knowing umno being a ruthless and a no-moral party,make sure to track any other would-be potential frogs as these double-headed umno species are on their hunting mood!!!

  8. rew:

    Saya anak kelahiran Port Klang. Kalau tak de sgt org yg hendak berkhidmat di Port Kelang, saya menawarkan diri. Buat malu jer Badrul, baik pindah duduk Jalan Samy lagi baik.

  9. zulkefli mohamad:

    Buat PKR dan PR selangor keseluruhannya, teruskan berjuang dan berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati. Bagi DUN Pelabuhan Klang, harap wakil sedia ada terus berkhidmat dengan lebih cemerlang. Tolong berikan lebih tumpuan pada DUN ini daripada sebelumnya. Biar rakyat berpuas hati terhadap khidmat yang diberikan, seterusnya akan mengangkat martabat PR itu sendiri, walaupun wakil rakyatnya bukan dari PKR lagi! Semoga apa yang dilakukan akan dinilai oleh rakyat secara adil, seterusnya bakal terus menyokong PR pada pilihanraya yang seterusnya. JANGAN JADI SEPERTI KAMI DI PERAK!!!

  10. ntahlah:

    Sy rasa antara puncanya jugak sebab Anwar tamak sangat, macam dah tak sabar nak berkuasa balik, masa nak tetapkan kerusi dulu banyak kerusi patut PAS punya dia sapu, alih2 tengoklah apa jadi, sume calon mi segera yg diletak, kalau mi segera berkualiti sedap lah gak dimakan, ni mi segera berkulat. Ingat tak apa jadi kat Sementa sampai Rahman Palil boleh bersorak gumbira menang tanpa bertanding? Mamat PKR siot nama apa tah tu dah bersumabt duit ilang masa hari penamaan calon, cari macam nak giler siap buat laporan polis rupenye bersantai ngn keluarga kat PD. Macam haram jer…

  11. zamiq:

    biarkanlah si Badrul Hisham Abdullah keluar Parti Keadilan Rakyat .sapa2 lg yg nak ikut keluar pkr lg lepas ni…dipersilakan.

  12. maslino:

    Si Badrul dedau ni orang UMNO pun TAK NAK dia. Buat beban je. Sebodoh-bodoh UMNO, bodoh lagi orang yang bawak Si Dedau ni masuk bebas. Kalau berani, bawak lah masuk dalam UMNO terus. Yang duduk sebelah kanan dia tu masa PC pun entah ada cawangan entah tidak. Mana cawangan yang nak terima dia? Boss dia pun atas ehsan dapat pecacai penerangan cawangan. U think BN will put Badrul Dedau ni as candidate in Pelabuhan Klang in the next election? Forget it Badrul!

  13. mahhayu ismail:

    salam perjuangan….
    sebenarnya isu adun yang tak bertanggungjawab ni memang sering kedengaran akhir2 ni,yang banyak bermasaalah adalah adun dari PKR.selepas apa yang terjadi di Perak , yang menyebabkan kerajaan pakatan rakyat tersungkur di tangan sang penguasa yang rakus memerintah, kemudian adun dari kedah dan terbaru adun dr selangor. saya mencadangkan agar pimpinan pusat mengambil perhatian serius terhadap ADUN2 yang di kesan bermasaalah kalau boleh BRAIN WASH otak mereka agar berpijak di bumi yang nyata,jangan mendongak ke langit bila dah menang pilihanraya.Ada juga adun yang x mengenang jasa yang menganaktirikan cabang yang mencalonkan mereka.peruntukan tak diberi mcm mana kami nak bergerak memantapkan parti.. harap YB nik pnjgkan kepada mb..

PENDAPAT ANDA?