Ucapan Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor
Tuan Speaker,
Seri Setia mohon turut serta dalam perbahasan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan DYMM Tuanku.
Di dalam ucapan Baginda, Baginda telah mengingatkan agar kita semua berbahas secara rasional dan tertib, bukan emosi; mengutamakan rakyat, bukan parti dengan bertunjangkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.
Malangnya kita menyaksikan beberapa insiden politik fitnah dan samseng akhir-akhir ini yang bertentangan dengan semangat demokrasi. Media-media arus perdana memaparkan bahan-bahan lucah kepada anak-anak kita. Video-video lucah diedar dengan berkulitkan gambar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Pemimpin-pemimpin pembangkang diserang oleh samseng.
Pagi tadi juga kita mendengar Sungai Pelek membangkitkan beberapa isu berkaitan SJKC. Pertama, kononnya peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam protes masyarakat Cina terhadap pencabulan terhadap SJKC pada 1987. Lupakah beliau, pada tahun itu, selaku Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi amaran untuk menghunus keris bermandikan darah Cina?
Juga adakah Sungai Pelek tidak sedar, kenyataan yang dirakamkan oleh video yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mei 2010 pada Pilihan Raya Kecil Sibu, bagi mengatasi masalah banjir di sana:
“Can we have deal or not? Can we have an understanding or not? You help me, I help you. It is quite simple.”
Bayangkan, kenyataan sebegini dibuat oleh seorang Perdana Menteri dan Presiden Parti!
Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor telah meletakkan Selangor sebagai negeri barisan hadapan untuk ditawan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Justeru tidak mengejutkan apabila kita melihat pelbagai perkara ajaib berlaku di dalam daftar pemilih Selangor.
Di kawasan Seri Setia misalnya, pengundi yang beralamat di Kampung Saujana, tanpa pengetahuan mereka telah dipindahkan ke DUN Kota Damansara dan Parlimen Subang. Malah, pendedahan terbaru mendapati YAB Ijok sendiri dipindahkan daripada mengundi di Kuala Selangor ke Parlimen Lembah Pantai!
Rakyat sudah bergerak ke hadapan, malangnya pemimpin BN dan kuncu-kuncu mereka nampaknya masih terperangkap di dalam politik usang dan mencabul demokrasi. Hairan sekali, apabila bab ini, pejuang yang mendakwa mempertahankan Melayu-Islam tak sentuh langsung pula. Mungkin mereka kena belajar adabul ikhtilaf.
Seri Setia juga mengambil maklum peringatan DYMM Tuanku tentang Tanah Rizab Melayu. Malang sekali, penyelewengan ini berlaku ketika zaman UMNO-Barisan Nasional yang hari ini menyerang Pakatan Rakyat menggadaikan hak Melayu. Malah usaha ini cuba diteruskan termasuk permohonan UMNO Bahagian Puchong yang diketuai Ketua Pembangkang Seri Serdang menjual sebidang tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera Lagi Gemilang Sdn Bhd telah ditolak oleh YAB Ijok pada 25 Januari 2010.
Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,
Jika pada PRU-12 dahulu YB Sungai Panjang meletakkan objektif pembangkang sifar, namun rakyat dengan izin Allah s.w.t. telah membuktikan sebaliknya. KEADILAN, PAS dan DAP telah membentuk Kerajaan Negeri yang kini sudah mencapai usia empat tahun dan boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian yang dibuat demi rakyat.
Kita semua maklum tentang Program Merakyatkan Ekonomi Selangor. Meskipun dasar-dasar seperti pemberian air percuma, Tabung Warisan Anak Selangor dan Skim Mesra Usia Emas diserang oleh BN, kerana pada hakikatnya dasar-dasar yang mengagihkan hasil negeri untuk rakyat tersebut tidak terbayang oleh kerajaan BN sebelum ini meskipun selepas 50 tahun memerintah, dasar ini telah diciplak oleh BN.
Pemberian bil elektrik percuma bawah RM20 dan Bantuan Rakyat 1Malaysia misalnya adalah gula-gula yang hanya dibuat selepas melihat impak program Merakyatkan Ekonomi Selangor. Bezanya, jika BR1M dibuat secara ‘one-off’ menjelang pilihan raya, MES diperkenalkan secara berterusan 100 hari selepas Kerajaan Pakatan dibentuk di Selangor.
Tidak beberapa lama dahulu, pimpinan BN sering menyatakan bahawa hanya mereka yang mampu membawa pembangunan. Hanya BN yang mampu mewakili masyarakat pelbagai kaum. Namun pencapaian Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor, negeri paling maju dan majmuk di negara telah membuktikan momokan tersebut benar-benar meleset.
Menurut seorang sarjana, Dr Ooi Kee Beng:
“Daripada lima buah negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008, Selangor mempunyai nilai signifikan yang agak berbeza mengambil kira Selangor sebagai pusat perkembangan ekonomi, tumpuan demografik, pembangunan, hubungan antara kaum dan minat kepada politik. Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah negeri-negeri yang tidak menggambarkan ciri nasional… dan Perak tidak membawa makna ekonomi.”
Lebih penting lagi, pencapaian di Selangor juga meliputi kejayaan institusi bukan material semata-mata sebagaimana dibuktikan dengan adanya Enakmen Kebebasan Maklumat dan penghidupan Jawatankuasa-Jawatankuasa Terpilih di Dewan khususnya SELCAT.
Tuan Speaker,
Seri Setia juga ingin membangkitkan beberapa isu-isu setempat di DUN Seri Setia. Isu sampah telah mendapat perhatian meluas daripada media-media arus perdana. Sebenarnya, banyak masalah ini diperbesar-besarkan dan Kerajaan Negeri sudah memulakan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Namun tidak dinafikan masih ada masalah sedikit-sebanyak dalam isu sampah ini termasuk di DUN Seri Setia. Antara rungutan yang diperolehi oleh Seri Setia daripada Pihak Berkuasa Tempatan apabila saya menyampaikan aduan penduduk tentang masalah pungutan sampah ialah pusat pelupusan sampah tidak dibuka 24 jam sehari 7 hari seminggu.
Kesannya meskipun kontraktor mengutip sampah, mereka terpaksa menunggu masa lama untuk membuang sampah di pusat pelupusan. Bagi yang tidak bertanggungjawab, mereka membuang sampah di tempat-tempat lain. Saya berharap Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera dalam hal ini.
Satu lagi isu ialah kesesakan lalulintas. Seri Setia berjiran dengan Subang Jaya dan menghadapi kesesakan yang serius khususnya di Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Damansara Puchong. Kawasan Seri Setia berhadapan dengan pembangunan baru seperti projek Paradigm, Icon City dan lain-lain lagi, serta pembangunan sedia ada.
Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih, MBPJ telah memperkenalkan bas komuniti. Namun Seri Setia difahamkan penggunaan bas komuniti masih lagi belum mencapai tahap optimum.
Di dalam perbincangan Seri Setia dengan PKNS, mereka memaklumkan ada rancangan memperkenalkan sistem pengangkutan bas transit bersama pemaju-pemaju di beberapa kawasan di Petaling Jaya.
Justeru Seri Setia berharap Kerajaan Negeri menerusi PKNS dan MBPJ dapat bersama-sama menggabungkan syor mereka bersama agar dapat menambahbaik bas komuniti menjadi sistem bas awam di bawah Kerajaan Negeri bagi seluruh Petaling Jaya.
Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,
YM Tunku ‘Abidin Tuanku Muhriz pernah menulis bahawa meskipun Malaysia merupakan satu-satunya negara persekutuan di rantau ini, namun pada realitinya semakin banyak kuasa ditumpukan pada Kerajaan Pusat berbanding dengan negara-negara jiran.
Justeru, amat bertepatan sekali untuk YAB Ijok dan Kerajaan Negeri secara konsisten membangkitkan isu menghidupkan semangat federalisme sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan negara.
Pembahagian kuasa-kuasa di dalam Perlembagaan antara senarai Persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama menggambarkan keadaan negara sewaktu merdeka. Namun selepas lebih 50 tahun merdeka, sewajarnya semua pihak membincangkan semula senarai-senarai ini. Kuasa-kuasa seperti polis, pendidikan dan pengangkutan awam yang lazimnya diletakkan pada kerajaan tempatan atau negeri di negara-negara lain masih merupakan di dalam senarai Persekutuan di Malaysia.
Negara Jerman, misalnya, telah memperkenalkan devolusi pendidikan kepada kerajaan-kerajaan negeri pada tahun 2006. Kesannya, wujud persaingan antara negeri-negeri di Jerman untuk mengekalkan guru dan pelajar terbaik, sekaligus meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan yang memberi manfaat kepada seluruh negara.
Antara syor YAB Ijok yang boleh digunapakai ialah penubuhan Suruhanjaya Pemberian Geran sebagaimana diamalkan di negara-negara persekutuan Komanwel yang lain seperti Australia dan Kanada. Penubuhan Suruhanjaya ini membolehkan agar setiap negeri menerima peruntukan yang adil daripada Kerajaan Pusat berdasarkan kedudukan ekonomi, bilangan penduduk, keluasan kawasan dan sebagainya.
DYMM Tuanku telah menyeru agar perbezaan pandangan politik tidak menghalang usaha-usaha murni untuk kebajikan seluruh rakyat Selangor. Namun amalan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Kampung Pusat (JKKKP) yang membayangi JKKK Kerajaan Negeri membuktikan kegagalan BN untuk berbuat demikan.
Seri Setia juga berharap pihak Pembangkang dapat turut sama menyokong usaha ini kerana apabila Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Pusat kelak, negeri-negeri BN juga tidak mahu didiskriminasikan sebagaimana negeri-negeri bukan BN sebelum ini.
Seri Setia mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.











