video


Biografi

Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia. Nik Nazmi menganggotai Parti Keadilan Rakyat sejak tahun 2005 dan kini merupakan Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelana Jaya.

Blog


Politik Kanak-Kanak?

05 Jan 2009 | Current Affairs, Personal | by admin | 2 Komen

Hari ini ramai ibu bapa yang sibuk dengan kemasukan anak-anak ke sekolah dan tadika di seluruh negara. Memandangkan saya belum bergelar bapa, saya tidaklah terbabit di dalam kesibukan tersebut.

Tetapi saya dijemput Persatuan Penduduk Mentari Court, PJS8 bagi merasmikan tabika mereka. Saya dimaklumkan tentang tabika tersebut beberapa minggu lalu ketika melawat flat tersebut untuk merasmikan Kempen Keselamatan KTM. Memandangkan dengan adanya tabika tersebut akan memudahkan ibu bapa dengan kemudahan di dalam flat mereka, saya bersetuju menaja kerusi dan meja untuk pelajar dan ibu bapa tabika tersebut.

Namun, memandangkan tabika tersebut di bawah penyeliaan Kemas, Persatuan Penduduk mendakwa Kemas pada mulanya tidak senang dengan jemputan Persatuan kepada saya untuk merasmikannya. Namun Persatuan Penduduk menegaskan ini bukannya program politik, tetapi program kemasyarakatan. Memandangkan saya turut menyokong penubuhannya selaku wakil rakyat, saya patut turut serta.

Akhirnya, Persatuan Penduduk memberi kata putus: sama ada wakil Kemas hadir atau tidak program perasmian tersebut, mereka tetap mahu saya hadir. Akhirnya, apabila saya hadir, wakil Kemas tidak kelihatan.

Alhamdulillah, sambutan tabika tersebut teramat baik - lebih 60 kanak-kanak mendaftar hingga terpaksa dijalankan dalam dua sesi, melangkaui jangkaan penduduk. Suasana tabika cukup meriah dan ucapan saya diselangi gelak-ketawa dan teriakan anak-anak di sana. Kelihatan anak-anak pelbagai kaum bergaul dengan baik.

Mungkin pemikiran anak-anak tersebut lebih matang dari politik kanak-kanak sesetengah pihak! 

Kolum saya di Malaysian Insider: Adakah Melayu secara semulajadinya lemah?

Saya baru sahaja pulang dari Houston, Texas selepas menghadiri Muktamar Tahunan Malaysian Islamic Study Group (MISG) sebagai penceramah jemputan. Pada mulanya, MISG menjemput Dr Asyraf Wajdi Dasuki, calon Parlimen Umno yang tewas di Tumpat pada pilihan raya umum lalu berserta YB Salehuddin Ayub, Ketua Pemuda Pas dan Ahli Parlimen Kubang Kerian berserta saya sebagai panel di dalam forum mengenai masa hadapan umat Islam dan Melayu di Malaysia. Malangnya, atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan kedua-dua mereka tidak dapat hadir dan saya digandingkan dengan wakil NGO untuk forum tersebut. Namun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Idris Haron merasmikan Muktamar tahun ini.

MISG merupakan sebuah pertubuhan yang sudah bertapak sejak 1976 lagi ketika gelombang kebangkitan Islam mula berkembang di Malaysia dan seluruh dunia. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Mohammad Nur Manuty merupakan presiden pertama MISG. YB Dr Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Umno dari Batu Pahat pula pernah aktif bersama MISG sewaktu beliau di Amerika dahulu.

Di dalam forum bersama wakil NGO, saya tekankan tiga aspek: pertama tradisi Islam di dalam menegakkan keadilan untuk semua sejak zaman Rasulullah s.a.w. Kedua, memelihara muafakat perlembagaan termasuk Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak-Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedudukan Bahasa Melayu, Kedudukan Raja-Raja Melayu. Ketiga, bagi memartabatkan kaum Melayu di Malaysia kita mesti mengambil pendekatan baru yang menekankan memberi peluang untuk Melayu yang bersaing sama-rata dengan orang lain di samping memastikan golongan miskin yang majoriti besarnya Melayu dibantu secara langsung. Ini berbeza dengan tindakan afirmatif berasaskan kaum yang ada pada hari ini.

Namun apa yang benar-benar menarik perhatian saya ialah respons mahasiswa. Rata-rata pandangan mereka cukup berani. Apabila ada yang mengutarakan bahawa pandangan saya mungkin terlalu idealistik, dan jangan kita mudah mempercayai kaum lain, mahasiswa mempertikaikan pandangan tersebut. Ada pula yang membawa hujah bahawa Melayu ini secara semulajadinya lemah, dan di dalam persaingan terbuka kita pasti terpinggir.

Pandangan bahawa Melayu ini lemah sama ada secara genetik atau budaya ini bukanlah pandangan baru. Malah, Syed Hussein al-Attas di dalam “The Myth of the Lazy Natives” telah membuktikan bahawa idea ini mempunyai akar umbi di dalam propaganda penjajah bagi menjustifikasikan projek kolonialisasi mereka. Tun Dr Mahathir Mohamad memanjangkan pandangan ini menerusi “Dilema Melayu”, bahawa orang Melayu secara genetiknya lemah hasil keadaan Tanah Melayu yang kaya raya dengan hasil-mahsul bumi dan budaya mengahwini saudara-mara.

Pada masa yang sama, perspektif “Cultural Deficit” ini menjadi sandaran kerajaan Singapura pimpinan Lee Kuan Yew untuk meminggirkan kaum Melayu di Singapura, sebagaimana diulas secara mendalam oleh Lily Zubaidah Rahim dalam “The Singapore Dilemma”. Pendekatan ini sesuai dengan dasar elitis dan kepercayaan besarnya factor genetik dalam kecemerlangan manusia yang menjadi pegangan Kuan Yew.

Malah, ironisnya, pandangan inilah yang digunakan Umno bagi menyatakan kita tidak boleh mengubah dasar-dasar yang ada. Logik mereka, memandangkan Melayu ini semulajadinya lemah, maka sekiranya kita beralih kepada sistem yang tidak berasaskan kaum, maka sudah semestinya kaum lain akan mengatasi orang Melayu.

Tetapi pandangan saya berbeza. Sejarah menunjukkan orang Melayu pernah menjadi pedagang dan pelayar hebat. Kerajaan Negeri Melaka membuktikan kebolehan orang Melayu mentadbir sebuah pusat perdagangan utama dunia. Dengan datangnya penjajah, akhirnya orang Melayu dipisahkan dari sektor-sektor produktif ekonomi kapitalis penjajah seperti perladangan, perlombongan dan perniagaan. Syarikat-syarikat besar didominasi penjajah, perniagaan kecil dan sederhana serta perlombongan orang Cina sementara perladangan dan sektor-sektor professional orang India. Orang Melayu dikekalkan dalam pertanian tradisional dan jawatan rendah politik dan pentadbiran.

Justeru, ketika negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu terpinggir dari ekonomi moden. Situasi ini menjadi semakin serius sehingga akhirnya memuncak dengan peristiwa 13 Mei 1969. Atas kesedaran bahawa keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerajaan pada waktu itu di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru.

Di dalam banyak sektor, DEB berjaya mengangkat martabat Melayu. Lahirnya MISG itu sendiri lantaran dasar kerajaan pada masa itu menghantar ramai pelajar khususnya Melayu ke luar negara. Kelas menengah Melayu yang ada pada hari ini berikutan pelaksanaan DEB.

Walaubagaimanapun, DEB itu sendiri dilihat sebagai satu dasar sementara bagi mengatasi kemelut yang melanda orang Melayu pada waktu itu. Allahyarham Tun Dr. Ismail Hussein, yang meninggal dunia sebagai Timbalan Perdana Menteri, menegaskan bahawa dasar ini merupakan program sementara.

Tidak dinafikan, aspek budaya memainkan peranan. Budaya sama ada mahukan kejayaan dengan cepat atau menekankan usaha. Budaya mementingkan pembelajaran ataupun tidak. Namun, saya merasakan budaya ini bukanlah sesuatu yang mutlak dan harus dinilai bersama elemen-elemen lain. Malah, apabila kita melahirkan pendekatan yang memanjakan sesuatu kaum, maka sudah semestinya budaya kaum tersebut tidak menekankan sifat berdikari.

Paradoks DEB ialah akibat kejayaannya sebelum ini, maka kini kesannya terhadap orang Melayu yang paling terpinggir semakin berkurangan. Sebelum adanya kelas menengah Melayu seperti hari ini, majoriti besar orang Melayu merupakan golongan miskin.

Tetapi hari ini, kerana DEB merupakan tindakan afirmatif berasaskan kaum, maka asalkan namanya Melayu atau Bumiputera, tidak dibezakan sama ada mereka itu kaya-raya atau papa-kedana. Lebih menyedihkan lagi, kelompok elit berkepentingan Umno menggunakan dasar ini untuk mengambil saham Bumiputera, membolot kontrak-kontrak lumayan dan mempertahankan amalan rasuah — semua di atas nama “kepentingan Melayu”.

Alhamdulillah, ramai mahasiswa yang bersetuju dengan pandangan saya bahawa pendekatan tindakan afirmatif tanpa mengira kaum — yang mana Melayu susah akan dibantu dan pada masa yang sama bukan Melayu yang susah juga akan dibantu sama — adalah dasar paling relevan untuk Malaysia hari ini. Serentak dengan itu, sudah semestinya Melayu yang sudah berjaya dibenarkan bersaing dengan rakyat Malaysia yang lain.

Yang paling menarik perhatian saya ialah apabila masyarakat professional Melayu di Amerika yang turut hadir membuktikan bagaimana mereka dapat berjaya di Amerika walaupun cuma pendatang di sana. Ada yang bekerja sebagai perunding teknologi maklumat, arkitek malah memiliki firma teknologi di Lembah Silikon. Tidak dinafikan mungkin dalam satu peringkat kehidupan mereka, mereka menerima faedah DEB — mungkin kerja di syarikat berkaitan kerajaan atau menerima biasiswa — tetapi akhirnya mereka dapat berdikari. Itu semangat sebenar DEB.

Bukan memerangkap Melayu dalam mentaliti bahawa mereka perlu dibantu selama-lamanya. Jelas sekali, manusia itu lemah kerana latarbelakang sosio-ekonomi mereka, bukannya semulajadinya lemah. Allah s.w.t. tidak sekali-kali menjadikan mana-mana kaum itu lemah berbanding yang lain, melainkan keadaan persekitaran dan pembentukan budaya mereka yang menghalang mereka untuk maju ke hadapan.

Serangan Terbaru Rejim Zionis di Gaza

30 Dec 2008 | History, Current Affairs | by admin | 4 Komen

Sekali lagi dunia dikejutkan dengan serangan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Serangan terbaru di Semenanjung Gaza telah membunuh lebih 300 orang termasuk orang awam dan kanak-kanak. Lebih 700 cedera.

Israel mendakwa mereka bertindakbalas terhadap serangan roket oleh Hamas. Namun ini menggambarkan seolah-olah Hamas dan Israel dua tentera yang sama kuat sedang bertarung. Israel terus menekan Semenanjung Gaza dengan sekatan ekonomi mereka.

Timbalan Presiden Keadilan, Dr. Syed Husin Ali menyeru semua parti politik di Malaysia bekerjasama menunjukkan pendirian terhadap keganasan ditaja kerajaan dan pendudukan haram rejim Zionis. Malangnya, apabila wakil rakyat dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mahu membicarakan isu ini pada persidangan yang lalu, ia telah ditolak Speaker Dewan Rakyat.

Mari kita mendoakan agar rakyat Palestin dipelihara Allah s.w.t. dalam keadaan yang begitu genting ini.

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah 1430 hijrah kepada semua umat Islam.

Alhamdulillah, tahun 1429 hijrah menyaksikan rakyat Malaysia membuat perubahan ke arah kebaikan di negara kita.

Saya masih lagi berada di Houston, Texas. Semalam diadakan forum Ke Arah Memartabatkan Kaum Melayu dan Umat Islam di Malaysia yang asalnya patut disertai saya, YB Salahuddin Ayub dan wakil UMNO.

Tetapi kedua-dua Salahuddin dan wakil UMNO tidak dapat datang ke Muktamar MISG kali ini. Maka Ustaz Ahmad Zainal Abidin, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia menjadi ‘bidan terjun’ pada program tersebut (di atas kapisiti peribadi).

Alhamdulillah, perbincangannya cukup baik dan mahasiswa-mahasiswa yang hadir menimbulkan wacana yang cukup menarik! Syabas!

Kalau ada masa mungkin saya ceritakan tentang wacana tersebut.

Merry Christmas and a Happy New Year

25 Dec 2008 | Events, Personal | by admin | 1 Komen

To all Christians, Imaan and I would like to wish all of you Merry Christmas and a Happy New Year.

I’m actually in Moscow airport, enroute to Houston, Texas. I’ve been invited to speak at the Malaysian Islamic Students Group Annual Muktamar.

Of course it’s a white Christmas in Moscow! The outside temperature is -8 celsius.

Video: Menggesa ‘Renewable Energy Hub’ Didirikan Di Selangor

23 Dec 2008 | videos | by admin | 1 Komen

Ucapan saya di Persidangan Dewan Undangan Negeri membahaskan Halatuju Pembangunan Selangor 2025. Blog saya mengenai ucapan tersebut boleh dibaca di sini.

Kolum Saya di Malaysian Insider: Sistem Pendidikan Kita Hilang Arah

20 Dec 2008 | Articles, Current Affairs | by admin | 9 Komen

Saya membaca sebuah rencana di The Malaysian Insider yang mengkritik tindakan golongan pendidik Cina di dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris (PPMSI). Penulis menyatakan secara logiknya, golongan ini sepatutnya membuat kain rentang mereka di dalam tulisan Cina, seiring dengan pendirian pendidikan mereka. Walaubagaimanapun, siapa akan memahaminya jika mereka berbuat demikan.

Konklusinya mengejutkan saya:

“But most of all, imagine vernacular school educationists making their point in their own language, like chickens talking to ducks. They have an important message but won’t communicate in a common language. Which is precisely the point for using English. Everyone understands. Everyone gets the point.”

Apa jadi kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan? Bukankah sepatutnya semua rakyat Malaysia memahami Bahasa Kebangsaan kita?

Saya sedih apabila melihat Bahasa Kebangsaan kita terpinggir. Sewajarnya, semua rakyat Malaysia fasih berbahasa Kebangsaan. Memang ada perbahasan sama ada Bahasa Kebangsaan wajar dipanggil Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu. Bagi saya, sekiranya ianya dipanggil Bahasa Melayu pun, sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu menguasainya. Jika penerimaannya lebih meluas sekiranya dijenamakan Bahasa Malaysia, apa salahnya? Tetapi jika kita cuma menjenamakannya semula sedangkan penerimaan masih lemah, tiada gunanya.

Isu PPMSI menyentuh dua isu – Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak belajar dalam bahasa ibunda. Kedua-dua isu ini sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu polemik yang ditimbulkan YB Dato’ Mukhriz Mahathir untuk satu aliran sekolah telah menimbulkan kontroversi yang meluas. Saya fikir cara yang lebih realistik ialah untuk menjadikan sekolah kebangsaan benar-benar menarik untuk semua rakyat Malaysia dalam sistem pendidikan pelbagai aliran.

Benar, ramai ibu bapa Tiong Hua memilih sekolah Cina untuk anak-anak mereka agar anak-anak mereka mahir berbahasa Mandarin. Tetapi keadaan ini menjadi lebih serius kebelakangan ini kerana orang ramai melihat kualiti sekolah kebangsaan semakin merosot. Seorang bapa Tiong Hua yang dahulunya belajar di SRK dan SM La Salle (saya sendiri belajar di SRK La Salle) mengadu kepada saya:

“Kalau boleh saya mahu anak saya pergi ke sekolah kebangsaan agar dia bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Tetapi saya merasakan kualiti sekolah kebangsaan termasuk La Salle kini jauh lebih teruk berbanding zaman saya pada 1980an dahulu. Saya kena fikir masa depan anak saya dan merasakan SRJK(C) pilihan terbaik.”

Bekas Pengetua saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Datuk Alimuddin Md Dom yang kini merupakan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, mendedahkan pada tahun 2007, sebanyak 93 peratus pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan merupakan Bumiputera. Pada masa yang sama, 7 peratus pelajar Bumiputera belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Pada tahun 2002, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menganggarkan 60,000 pelajar Melayu belajar di SRJK(C).

Antara sebab utama ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke SRJK(C) ialah mereka merasakan pendidikan di SRJK(C) lebih intensif dan kompetitif. Bagi mereka yang berkemampuan pula, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta. Tambah mengeruhkan lagi keadaan ini, Datuk Hishamuddin Hussein Onn kini mengumumkan ibu bapa dibenarkan menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang menggunakan kurikulum antarabangsa.

Oleh itu, di sebalik retorik mahu memperkasakan sekolah kebangsaan, ia gagal diterjemahkan kepada realiti. Saya yakin, sekiranya Kerajaan benar-benar meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan, bukan sahaja lebih ramai pelajar-pelajar Melayu akan memilih sekolah kebangsaan, malah, pelajar-pelajar bukan Bumiputera juga akan kembali menjadikan sekolah kebangsaan pilihan mereka. Apatah lagi pengajaran Bahasa Ibunda sudah mula diperluaskan di sekolah kebangsaan.

Dalam semangat Mukhriz menjadi jaguh sekolah kebangsaan, beliau tidak menyentuh langsung isu PPSMI yang diperkenalkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohammad tahun 2003 dahulu. Kini isu tersebut selesai dibincangkan di peringkat meja bulat dan pilihan-pilihan yang disyorkan diserahkan kepada Kabinet. Namun laporan media menyebut majoriti wakil yang menghadiri perbincangan tersebut memilih dasar PPMSI dikekalkan.

Saya nak minta Kabinet fikir secara mendalam perkara ini. Kita boleh menyoroti perjuangan memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang pernah didokong UMNO suatu ketika dahulu. Kita boleh mengenang kembali pengorbanan generasi terdahulu untuk meyakinkan rakyat tentang kemampuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Tetapi saya tidak mahu kita bernostalgia semata-mata. Saya lebih berminat pada realiti.

Kawasan DUN saya, Seri Setia terletak di bawah Parlimen Kelana Jaya. Kuala Lumpur cuma beberapa minit, dan DUN Seri Setia terletak di bawah dua bandaraya – Petaling Jaya dan Shah Alam. Antara mereka yang tinggal di kawasan saya termasuklah VK Lingam. Dahulu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

Namun Seri Setia bukan kawasan elit semata-mata. Ada sebuah kawasan perumahan bernama Desa Mentari. Walaupun namanya seperti kawasan perumahan kos tinggi, ia sebenarnya perumahan kos rendah yang dibina berikutan dasar Setinggan Sifar YB Dato’ Seri Khir Toyo. 15,000 orang dihimpunkan di kawasan kecil di sana. Desa Mentari dibina di seberang Lebuhraya Persekutuan dari kawasan Kelana Jaya, di belakang kilang Guinness.

Pada Januari 2008, saya bersama beberapa rakan profesional muda bersama-sama seorang bekas guru menubuhkan Pusat Tuisyen Sukarelawan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah di Desa Mentari. Apabila kami bertanya pelajar tentang subjek kegemaran mereka, terlalu sedikit yang memilih matematik, dan tidak seorang pun memilih sains. Punca utama, apabila diselidiki, kerana mereka tidak faham pengajaran guru di sekolah.

Seorang bekas kakitangan Kementerian Pelajaran berkata ketika dasar tersebut dilontarkan secara mengejut, ada guru sains dan matematik yang meluahkan sukar mereka mengajar di dalam Bahasa Inggeris. Ramai guru yang kurang fasih. Tetapi kerajaan tidak mengendahkannya. Mereka menyatakan ada perisian multimedia yang akan mengatasi perkara tersebut. Cikgu bukannya boleh digantikan dengan komputer semudah itu.

Saya bukan anti-Bahasa Inggeris. Saya sokong diperkasakan guru-guru Bahasa Inggeris. Hantar mereka ke Australia, Britain dan Amerika Syarikat. Pastikan yang terbaik dihantar ke sekolah-sekolah luar bandar. Tambah masa pembelajaran Bahasa Inggeris. Jadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menarik dan kreatif.

Tetapi mengapa kita membebankan guru-guru sains dan matematik untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak kita? Sejauh mana PPMSI dapat membantu mereka menjadi lebih fasih dalam Bahasa Inggeris? Ramai pelajar-pelajar yang Bahasa Inggeris mereka masih berbaur loghat Kelantan yang mendapat keputusan cemerlang di Imperial College dalam bidang kejuruteraan. Peralihan dari penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris boleh diatasi. Tetapi jika dari awal lagi anak-anak kita tidak faham apa yang diajar di sekolah, bagaimana mereka nak berjaya.

Ya, anak-anak kita yang lahir dalam keluarga kelas pertengahan, terdedah dengan Bahasa Inggeris dari peringkat awal mungkin boleh berjaya dengan cemerlang. Tetapi bagaimana anak-anak di kampung atau di kawasan pedalaman? Bagaimana anak-anak di Desa Mentari?

Apa kata kita baiki perkara ini dahulu dan mengangkat martabat sekolah-sekolah kebangsaan sebelum bermimpi lebih jauh lagi. Sekolah-sekolah kita mesti menemui arahtuju mereka. Ada calon Ketua Pemuda UMNO berani menyokong saranan ini?

Meraikan Sheikh Afifi

17 Dec 2008 | Articles, Religion, Personal | by admin | 1 Komen

Alhamdulillah, semalam saya dapat bertemu Sheikh Dr. Muhammad Afifi al-Akiti yang pulang bercuti di Malaysia. Saya menjemput beliau untuk makan malam di rumah bersama beberapa rakan-rakan dan bapa saya.

Sebelum ini Sheikh Afifi sering meraikan saya di rumah beliau di Oxford, malah menjemput saya bersamanya apabila beliau berada di London.

Alhamdulillah, beliau sudah menamatkan pengajian PhDnya di Oxford. Saya masih ingat sering rasa bersalah apabila Sheikh Afifi meluangkan masa apabila saya ke Oxford ketika beliau bergelut dengan tesisnya. Sekarang, beliau kembali aktif bersama masyarakat Melayu Oxford.

Nama Sheikh Afifi sebagai seorang ulama’ muda sudah mula tersebar. Tetapi masih ramai tidak mengenali anak Melayu Perak yang mengikuti pengajian tradisional Islam di pesantren di Jawa Timur, seterusnya madrasah di Maghribi dan Timur Tengah. Beliau kemudian ke Queen’s University Belfast untuk ijazah pertamanya sebelum ke Oxford untuk ijazah sarjana dan PhD. Bermula Oktober 2008, beliau mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menjadi ‘tenured lecturer’ di Universiti Oxford.

Sebelum ini, beliau menerbitkan fatwa mengecam pengebom berani mati, Defending the Transgressed atau Mudafi’ al Mazlum. Fatwa tersebut mendapat perhatian meluas di kalangan masyarakat Islam antarabangsa, tetapi sekali lagi tidak mendapat perhatian di tanah airnya sendiri. Saya merujuk kepada fatwanya dalam tulisan di the Sun, Let Moderate Voices Speak dua tahun lalu.

Seperti biasa, banyak ilmu yang diperturunkan kepada kami walaupun dalam majlis makan malam, termasuk kisah-kisah agak lucu. Beliau terkejut Aidiladha sudah tidak meriah langsung di negara kita (kecuali Kelantan mungkin?), memandangkan tahun ini Aidiladha pertama selepas sekian lama di perantauan.

Sebelum majlis berakhir, beliau menceritakan kisah bagaimana baru-baru ini ketika hadir di majlis makan malam di New College, Oxford. Sebagaimana tradisi Oxford, doa makan akan dibacakan. Di New College, tradisinya meletakkan fellow paling kanan untuk membaca doa. Kebetulan, Richard Dawkins, pengarang atheis yang terkenal dengan The God Delusion merupakan fellow paling kanan. Maka beliaupun bangun, membacakan ‘Grace’ atau doa makan!

Itu petanda bagaimana masyarakat di Oxford menghormati tradisi, sehingga yang atheis pun berdoa!

MB bertemu penduduk Bukit Antarabangsa

15 Dec 2008 | Current Affairs | by admin | 0 Komen

Semalam saya turut serta dalam lawatan Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim bertemu penduduk Bukit Antarabangsa. ADUN Bukit Antarabangsa, YB Azmin Ali, Exco Alam Sekitar YB Elizabeth Wong serta YDP MPAJ, Pegawai Daerah Gombak, wakil pihak polis dan JKR turut serta dalam lawatan tersebut.

MB mula-mula bertemu wakil-wakil penduduk di Bilik Gerakan di Surau Addiniah. Beliau menyatakan laporan JKR akan diterima pada 18 Disember ini dan Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman status terkini berdasarkan laporan tersebut keesokan harinya.

Kemudian MB serta rombongan meninjau jalan pintas yang telah diturap sebelum bertemu wakil-wakil penduduk di kawasan Oakleaf dan sekitarnya.

MB turut memberikan penghargaan kepada petugas-petugas termasuk anggota tentera, polis dan bulan sabit merah.

My speech ‘How New Media Trumped Old Politics and the Road Ahead’ at CPI Forum

10 Dec 2008 | Events, Articles, Current Affairs | by admin | 4 Komen

Last Friday, I was invited to give the keynote speech at the CPI Forum ‘New Media and Democratisation’. Jun E-Tan and Zawawi Ibrahim’s book, ‘Blogging and Democratisation in Malaysia’ was also launched on the same day and both of them, along with Ahiruddin Attan @ RockyBru spoke at the forum.

Anyway, in my speech I spoke about how New Media has trumped Old Politics:

In May 2007, I was invited along with Tony Pua, Jeff Ooi and Soon Li Tsin to speak about blogging in Malaysia. I spoke about the battle between the New Media and Old Politics: how the old politics of divide and rule; command and control is unable to cope with the open nature of new media…

But we did not expect that it would play such a big role in Malaysia so soon that in less than a year after the function, Tony, Jeff and I all became Yang Berhormats. The 8th of March 2008 illustrated how new media has trumped old politics. It has changed how campaigns, even governments are run radically.

But what next? I argue that the bloggers need to focus on five issues:

  1. Unite against arbitrary use of law / intimidation
  2. Practice what we preach - allow for free speech and critical thinking within the blogging community
  3. Expand the netroots especially in rural areas that remain BN bastions
  4. Maintaining the highest journalistic ethics and standards
  5. Form alliances with those from the old media to push the boundaries in the old media

The full text is here. You can watch the video here.

Jadual Program

  • Solat Maghrib dan Isyak di Kg. Lindungan

    8 Januari 2009
    7.00 malam
    Surau Lama Kg. Lindungan, PJS6

  • Klinik Khidmat Rakyat di Dataran Glomac

    7 Januari 2009
    9.00 malam - 11.00 malam
    Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, C-1-5 Jalan SS6/5B, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya

  • MISG-IMSA Annual Muktamar 2008

    27 - 30 December 2008
    Hilton Houston Westchase, Texas, USA
    The Malaysian Islamic Student Group - Indonesian Muslim Students Association Muktamar will be officiated by Malaysian Deputy Higher Education Minister Datuk Idris Haron and Indonesian Deputy Youth and Sports Minister
    Nik Nazmi has been invited as a panellist for a few Malaysian students session on student activism and the future of Malays and Muslims in Malaysia

  • Christmas with Fran Dinner

    21 December 2008
    8.00 pm
    One World Hotel, Bandar Utama

  • Kempen Pemeriksaan Mata dan Kesihatan Percuma

    21 Disember 2008
    2.00 petang
    Pusat Khidmat Rakyat Desa Mentari B2-G29, Jalan PJS6/5G, Desa Mentari

Nik Nazmi di laman sosial : Facebook | MySpace | Friendster | Flickr | YouTUBE |